Anda di sini

Bekas ahli BIGBANG Seungri sertai angkatan tentera

Advertisement
 Bekas ahli kumpulan BIGBANG Seungri memakai topeng muka hitam ketika tiba di kem latihan tentera di Cheorwon pada 9 Mac lepas. Dengan menyertai angkatan tentera Korea Selatan, perbicaraan Seungri berhubung dakwaan yang berpunca daripada satu skandal seks dan dadah pada tahun lepas kini akan didengar oleh mahkamah tentera. — Gambar YONHAP / AFP
MASUK TENTERA: Bekas ahli kumpulan BIGBANG Seungri memakai topeng muka hitam ketika tiba di kem latihan tentera di Cheorwon pada 9 Mac lepas. Dengan menyertai angkatan tentera Korea Selatan, perbicaraan Seungri berhubung dakwaan yang berpunca daripada satu skandal seks dan dadah pada tahun lepas kini akan didengar oleh mahkamah tentera. — Gambar YONHAP / AFP

BEKAS bintang K-pop yang aib Seungri menyertai angkatan tentera Korea Selatan pada Isnin lepas, yang bermakna mahkamah tentera kini akan mendengar perbicaraannya berhubung dakwaan yang berpunca daripada satu skandal seks dan dadah pada tahun lepas.

Penyanyi berusia 29 tahun dari kumpulan remaja lelaki popular BIGBANG telah didakwa atas tuduhan termasuk pengaturan pelacuran, penggelapan wang dan perjudian haram.

Semua lelaki yang sihat di Korea Selatan wajib menjalankan khidmat tentera kira-kira selama dua tahun untuk mempertahankan negara dari Korea Utara yang memiliki senjata nuklear, yang masih berperang dengannya secara teknikal.

Dengan memakai baju hitam dengan penutup kepala dan topeng muka yang sepadan, Seungri tiba di sebuah kem latihan tentera di Cheorwon, sebuah bandar sempadan 100 kilometer ke utara Seoul.

Seungri – yang menangguhkan khidmat tentera pada tahun lepas kerana polis masih menjalankan siasatan – menundukkan kepala kepada pemberita tetapi tidak menjawab pertanyaan sebelum dia mendaftar diri, agensi berita Yonhap melaporkan.

BIGBANG menikmati kemasyhuran yang meluas selepas penampilan sulung mereka pada 2006 dan Seungri seterusnya menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya, tetapi tindak balas awam dan siasatan rasmi memaksanya untuk bersara dari dunia hiburan pada 2019.

Seungri, atau nama sebenarnya Lee Seung-hyun, dituduh memiliki tabiat berjudi di luar negara di kasino mewah di Las Vegas yang melibatkan transaksi pertukaran asing yang menyalahi undang-undang.

Dia juga disyaki mengatur khidmat seks bagi pelabur yang berpotensi dalam perniagaannya.

Siasatan ke atas skandal yang melibatkannya membongkar beberapa dakwaan terhadap pemuzik lain dan kakitangan di YG Entertainment – agensi lama Seungri dan salah sebuah firma pengurusan K-pop yang terbesar.

Ia mendorong Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi itu Yang Hyun-suk untuk meletak jawatan pada Jun tahun lepas untuk menghadapi siasatan ke atas dirinya sendiri berhubung perjudian haram. — AFP

Advertisement