Anda di sini

Sinar Cinta Hafiz Suip lagu runut drama ‘Seindah Tujuh Warna Pelangi’

Advertisement
 

PEMENANG Anugerah ‘Vokal Terbaik’ dan ‘Persembahan Terbaik’ Anugerah Juara Lagu 34, Hafiz Suip kini kembali dengan single terbaharu berjudul ‘Sinar Cinta’.

Lagu berentak balada itu juga menjadi taruhan terbaru untuk kembali memikat hati peminat dan penggemar muzik tanahair.

Lagu terbaru terbitan dan edaran Nova Music (M) Sdn Bhd ini juga menyaksikan Hafiz sekali lagi menerima sentuhan emas Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali yang berkolaborasi bersama John Jeevasingham. Malah, ketiga komposer berkenaan juga turut berkongsi idea menzahirkan cetusan lirik bersama penerbit-penerbit drama, D. Hasniza dan Arisz Ab Rahman.

Manisnya juga, single terbaharu itu turut menjadi pilihan produksi Saphire Screen bagi drama ‘Seindah Tujuh Warna Pelangi’ yang diarahkan Eoon Suhaini sebagai lagu runut bunyi.

Drama berkenaan yang dibintangi Aeril Zafrel, Nabila Razali dan Hun Haqeem kini bersiaran menghiasi slot Akasia di TV3.

Single ‘Sinar Cinta’ Hafiz Suip terbitan Nova Music (M) Sdn Bhd boleh distrim di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KK Box dan Deezer. Video lirik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.

Advertisement