Anda di sini

‘Onward’ ungguli box office AS di tengah ketidakpastian kesan virus

Advertisement
 Tom Holland (kiri) dan Chris Pratt meminjamkan suara mereka untuk dua watak ‘Onward’ tentang dua remaja orang kenit  yang dalam usaha mencari kuasa magis yang boleh membantu menghidupkan semula bapa mereka.
FILEM NO.1: Tom Holland (kiri) dan Chris Pratt meminjamkan suara mereka untuk dua watak ‘Onward’ tentang dua remaja orang kenit yang dalam usaha mencari kuasa magis yang boleh membantu menghidupkan semula bapa mereka.

KETIKA industri filem melihat dalam keadaan bimbang bagi sebarang kesan daripada koronavirus, filem animasi terbaharu Pixar ‘Onward’ mendahului senarai filem di carta box office Amerika Utara pada hujung minggu tetapi dengan kutipan jualan tiket permulaan terendah bagi mana-mana filem Pixar/Disney.

Filem keluarga itu mencatat kutipan jualan tiket yang dianggarkan sebanyak AS$40 juta bagi tempoh tayangan Jumaat hingga Ahad iaitu jauh di bawah ramalan, lapor pemerhati industri Exhibitor Relations.

Perolehannya di box office antarabangsa sebanyak AS$28 juta juga jauh di bawah jangkaan. Namun seperti yang dikatakan oleh Variety, virus berkenaan telah memberi kesan yang sangat dalam di seluruh dunia, dengan banyak pawagam ditutup di beberapa pasaran utama seperti China dan Korea Selatan.

Penganalisis media Paul Dergarabedian berkata, walaupun secara keseluruhan jumlah penonton AS berkurangan pada hujung minggu, virus itu seakan tidak memberi kesan di sana.

‘Onward’ menerima ulasan yang positif, dengan skor 86 mata di laman sesawang Rotten Tomatoes. Ia mengisahkan dua remaja orang kenit (disuarakan oleh Tom Holland dan Chris Pratt) yang dalam usaha mencari kuasa magis yang boleh membantu menghidupkan semula mendiang bapa mereka.

Di tempat kedua, jatuh satu tangga dari minggu lepas adalah filem aksi ngeri Universal berjudul ‘The Invisible Man’, dengan AS$15.2 juta. Elisabeth Moss berlakon sebagai bekas teman wanita seorang lelaki (Oliver Jackson-Cohen) yang kembali menghantuinya selepas dikatakan telah membunuh diri.

Drama sukan baharu Warner Bros., ‘The Way Back’ dibuka di tempat ketiga dengan AS$8.5 juta.

Ben Affleck, yang sebelum ini pernah bercakap mengenai masalahnya dengan alkohol, telah mendapat pujian untuk lakonannya sebagai seorang pekerja pembinaan kaki botol yang dipanggil untuk melatih pasukan bola keranjang di sekolah tinggi lamanya.

Di tempat keempat adalah filem komedi pengembaraan Paramount, ‘Sonic the Hedgehog’, dengan AS$8 juta. Jim Carrey membintangi (walaupun bukan sebagai watak utama) dalam filem yang berdasarkan permainan video ini.

Dan di tempat kelima adalah filem 20th Century, ‘The Call of the Wild’ yang dibintangi oleh Harrison Ford, dengan AS$7 juta. Filem itu diadaptasi secara longgar daripada sebuah buku klasik Jack London.

Melengkapkan 10 filem teratas adalah ‘Emma’ (AS$5 juta), ‘Bad Boys for Life’ (AS$3.1 juta), ‘Birds of Prey’ (AS$2.2 juta), ‘Impractical Jokers: The Movie’ (AS$1.8 juta) dan ‘My Hero Academia: Heroes Rising’ (AS$1.5 juta). — AFP

Advertisement