Anda di sini

Monica Bellucci lupakan perasaan gemuruh demi Maria Callas

Advertisement
 

IA nampak sukar untuk dipercayai, tetapi Monica Bellucci – yang sudah menjadi perhatian selama empat dekad sebagai seorang model dan aktres – berkata dia mengalami masalah gemuruh bila dia berada di atas pentas.

Sekarang membuat penampilan di atas pentas di Paris, untuk menjelmakan penyanyi opera Maria Callas, diva Itali itu mengakui mengalami rasa takut yang sebenar.

“Ia bukannya saya takut kepada teater dahulu, saya masih takut kepada teater. Saya gementar,” kata aktres berusia 55 tahun itu kepada AFP.

“Menaiki pentas hampir seumpama keganasan yang saya lakukan ke atas diri sendiri.”

Bellucci membawa watak bintang opera abad ke-20 dalam satu pertunjukan selama sebulan bertajuk ‘Maria Callas: Lettres et Memoirs’ (Maria Callas: surat dan memori) di teater Bouffes Parisiens sehingga 28 Mac.

Berlakon dalam filem, kata aktres yang pernah berlakon dalam dua buah filem ‘The Matrix’ dan menjadi gadis Bond dalam filem ‘Spectre’ pada 2015, tidak begitu menakutkan.

“Apabila kita membuat sesebuah filem, ia seakan-akan kita dilindungi dari dunia luar. Dengan teater, kita menarik nafas orang ramai dan orang ramai menarik nafas anda. Terdapat kontak langsung...”

Ia juga tidak begitu meletihkan.

Dengan teater, kata Bellucci, konsentrasi kita mesti bertahan sepanjang durasi pertunjukan. Dengan filem, adegan dibuat satu per satu, dengan rehat di antara adegan.

Hanya sekali sahaja, dalam filem arahan Gaspar Noe ‘Irreversible’, dia pernah membuat satu adegan sepanjang 20 minit, katanya.

Walaupun takut, Bellucci berkata dia tertarik dengan projek Tom Volf mengenai Callas, yang terkenal kerana hubungan cintanya yang tragis dengan bilionair Greek, Aristotle Onassis, hampir sama seperti dia tertarik dengan suaranya yang menawan.

- ‘Keserasian’ -

Pertunjukan biografi itu banyak menggunakan surat dan tulisan Callas, yang dikumpul oleh Volf, yang juga pernah membuat sebuah filem bertajuk ‘Maria by Callas’.

“Surat-surat itu begitu cantik... ia adalah mustahil untuk tidak melihat ke dalam jiwa artis yang hebat ini,” kata Bellucci.

Bagi Volf, sejenis “keserasian” berlaku di antara Bellucci dan Callas di atas pentas.

Aktres itu, katanya, “mentafsirkan dengan ketepatan dan kekuatan dan kelemahan diva tersebut. Dengan status selebritinya, Monica dapat memahami wanita di sebalik legenda itu”.

Bellucci malah memakai salah satu gaun Callas dalam pementasan itu.

“Apa yang tidak dapat dipercayai ialah tiada satu pun pengubahsuaian yang perlu dibuat, ia seakan-akan dibuat menurut ukuran,” kata Volf.

Sinaran lampu limpah adalah satu lagi benda yang dikongsikan oleh kedua-dua wanita.

Callas hidup dengan butiran mengenai kehidupan peribadinya yang terpampang di muka depan akhbar dunia – daripada kejayaannya yang legenda hingga kepada dakwaan tentang sikapnya yang suka mengubah fikiran dan hubungannya yang menyayat hati dengan Onassis yang pada akhirnya mengahwini Jackie Kennedy, balu kepada Presiden Amerika Syarikat John F. Kennedy yang mati dibunuh.

“Dia menunjukkan imej awam yang senyum ini, dan di belakangnya tersembunyi seorang wanita yang mengalami sesuatu yang agak berbeza,” kata Bellucci.

“Apabila kita terdedah, kita berdepan dengan risiko yang tinggi. Saya, saya cuba melindungi diri sendiri... Ia benar-benar penting untuk sentiasa berpijak di bumi nyata dan menjauhkan diri daripada imej (awam) anda,” kata aktres itu yang turut menerima liputan media yang meluas ketika dia berpisah dari pelakon Vincent Cassel selepas bersama selama 17 tahun.

Adakah dia kisah digambarkan sebagai seorang diva, seperti Callas sebelumnya?

Bellucci ketawa.

“Salah seorang anak perempuan saya bernama Deva. Ia bukan satu perkara negatif, dalam bahasa Itali, ia bermaksud seseorang yang mengambil cahaya dari langit!” — AFP

Advertisement