Anda di sini

Kerjasama dengan Pusat demi negara dan rakyat, bukan kepentingan politik

Advertisement
 Shafie ditemui media selepas menerima kunjungan hormat daripada delegasi penganjur World Islamic Economic Forum di pejabatnya, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah Kota Kinabalu.
TENANG: Shafie ditemui media selepas menerima kunjungan hormat daripada delegasi penganjur World Islamic Economic Forum di pejabatnya, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedia menjalin kerjasama dengan Kerajaan Pusat kerana percaya pentadbiran kerajaan tidak seharusnya dijalankan secara ‘silo’ (bersendirian/ tertutup).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal optimis kerjasama itu boleh dilakukan walaupun pendirian Parti Warisan Sabah (Warisan) menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kerjasama di antara kementerian pusat dan negeri akan diteruskan, misalnya antara Kementerian Kesihatan dengan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

“Begitu juga Kementerian Pendidikan dengan Kementerian Pelajaran dan Inovasi kerana negara tidak harus ditadbir secara ‘silo’ demi kepentingan tanahair dan rakyat,” katanya.

Shafie berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita kesan pendirian terbuka Warisan tidak memihak kepada Perdana Menteri Ke-8 Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan seolah-olah ‘menggoyahkan kedudukan’ Kerajaan Pusat, di sini.

 Mengulas lanjut, beliau berkata semua pihak harus faham bahawa konteks ‘bekerja demi kepentingan negara dan rakyat’ berbeza dengan ‘bekerja demi kepentingan politik’.

 “Sekiranya mereka (Kerajaan Pusat pimpinan Muhyiddin) mahu menjalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri, kita tidak akan menolak khasnya dari segi pembangunan negara.

 “Sumber galian hasil bumi yang banyak di negeri ini bukan hanya untuk dinikmati oleh Sabah dan orang Sabah tetapi juga ‘dikongsi bersama’ dalam konteks Negara Malaysia.

“Jangan pula (ada) orang membuat tafsiran kononnya kita hendak membuat kerjasama begini (kerajaan dengan kerajaan) dalam konteks politik, kita tahu garis sempadannya.

“Misalnya soal kepentingan keselamatan, Kerajaan Negeri menjalin hubungan dengan polis dan tentera, tidak mungkin kita tidak mahu membantu pasukan keselamatan negara.

 “Semua harus sedar kepentingan rakyat dan negara itu membatasi kepentingan politik, tetapi harus difahami sokongan kepada Tun Dr Mahathir dalam konteks politik,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement