Anda di sini

Jenayah seksual fizikal, tiga sekawan didakwa di mahkamah

Advertisement
 

KUCHING: Tiga sekawan masing-masing mengaku tidak bersalah apabila didakwa di mahkamah berasingan hari ini atas pertuduhan melakukan seksual fizikal terhadap rakan mereka, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Dalam satu kejadian bertarikh 24 Februari lalu, mangsa dan kesemua tertuduh berjumpa di sekitar Jalan Kampung Santubong pada pukul 9 malam. 

Tertuduh berusia 19 tahun kemudian didakwa memicit payudara mangsa, selain memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa.

Sementara itu, rakannya yang berusia 17 tahun didakwa mengarahkan mangsa untuk menghisap kemaluannya manakala seorang lagi remaja berusia 16 tahun didakwa menghisap payudara mangsa.

Tertuduh yang berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan, masing-masing di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Hakim Jason Juga kemudian menetapkan 30 Mac sebagai pengurusan kes dan membenarkan tertuduh berkenaan dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah RM10,000 beserta dua penjamin tempatan. 

Sementara itu, dua rakannya pula didakwa di Mahkamah Majistret berasingan, masing-masing di bawah Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar menetapkan 3 April sebagai pengurusan kes terhadap tertuduh berusia 17 tahun yang beralamatkan di Kampung Baru. 

Majistret Zaiton Anuar pula menetapkan tarikh 7 April bagi tertuduh berusia 16 tahun, yang beralamatkan di Pasar Demak Baru.  

Dalam pada itu, kedua-dua tertuduh dibenarkan bebas dengan ikat jamin mahkamah RM5,000 dan ibu mereka sebagai penjamin.

Mahkamah juga memerintahkan ketiga-tiga tertuduh untuk tidak mendekati mangsa dan mengganggu saksi pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan dan Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang, manakala seorang daripada tertuduh diwakili peguam, Kenneth Yap. 

  • oleh
  • Advertisement