Anda di sini

Sistem lampu isyarat pintar ganti lima bulatan Stutong-Samarahan bagi mengatasi kesesakan

Advertisement
Lee (dua kanan) semasa sidang akhbar. Turut kelihatan, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan, Buckland Bangik.
Lee (dua kanan) pada sidang media hari ini. Turut kelihatan, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan, Buckland Bangik (kanan).

KUCHING: Kesemua lima bulatan dari Stutong ke Samarahan akan ditukar menjadi persimpangan yang menggunakan sistem lampu isyarat pintar.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata pembinaan lampu isyarat untuk menggantikan bulatan ini akan dilaksanakan tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh 15 bulan.

Lima bulatan yang terlibat adalah Setia Raja-Samarahan (berhampiran Tabuan Tranquility), Stutong-Samarahan (pasar raya Giant), persimpangan ILP/LKIM, Pusat Jantung Sarawak-Samarahan dan UNIMAS-Samarahan.

Menurutnya, berdasarkan kepada aduan yang diterima, lima bulatan di Kuching ini merupakan bulatan yang sering menghadapi masalah kesesakan lalu lintas.

“Mesyuarat telah diadakan dengan JKR (Jabatan Kerja Raya) mengenai perkara ini.

“Kami akan mengubah bulatan kepada persimpangan dengan lampu isyarat untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di sepanjang kawasan itu,” jelasnya. 

“Projek ini merupakan projek kerajaan negeri dan tender akan dibuka tidak lama lagi. 

“Saya berharap menjelang akhir tahun 2021, semua ini akan selesai dan semua bulatan tersebut akan menggunakan sistem lampu isyarat pintar,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pengangkutan Awam Negeri di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

Lee bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kos anggaran bagi projek ini.

Mengulas lanjut mengenai sistem lampu isyarat pintar, Lee berkata projek perintisnya sedang dilaksanakan di Kuching yang melibatkan 42 lampu isyarat mulai November tahun lepas dan selesai pada Oktober tahun ini.

Jelas beliau lagi, sistem ini melibatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mengurus dan mengawal lalu lintas.

"Sebagai contoh, apabila terdapat kesesakan lalu lintas, sistem berkenaan akan memberikan masa yang lebih lama kepada lalu lintas.

"Sistem itu akan dilaksanakan di bahagian lain di Sarawak selepas dilaksanakan di Kuching," katanya.

Tambahnya, pusat kawalan arahan utama juga telah ditubuhkan di Kuching untuk tujuan ini, manakala pusat kawalan serantau akan ditubuhkan di Sibu, Miri dan Bintulu tidak lama lagi.

Ketika ditanya permberita mengenai sistem pengangkutan awam iaitu sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang akan dibina dari Kuching ke Samarahan, Lee berkata butiran akan dibincangkan dan diumumkan kemudian.

Menurut laporan pada 4 Januari lalu, pelaksanaan (ART) untuk laluan Kuching-Samarahan akan direalisasikan sekitar tahun 2025.

Advertisement