Anda di sini

Siti Nurhaliza beri ‘Tujuh Nasihat’ bersama Kmy Kmo & Luca Sickta

Advertisement
(Kiri) KMY KMO dan LUCA SICKTA
(Kiri) KMY KMO dan LUCA SICKTA

PENYANYI nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza baru-baru ini kembali dengan sebuah single baharu berjudul ‘Tujuh Nasihat’ di mana menyaksikannya kembali berkolaborasi dengan penyanyi Hip Hop selepas kolaborasi pertama bersama kumpulan Too Phat pada tahun 2005 menerusi lagu ‘Dua Dunia’.

‘Tujuh Nasihat’ merupakan ciptaan rapper, komposer dan penerbit yang semakin meningkat naik iaitu pasangan duo Kmy Kmo dan Luca Sickta yang turut membuat penampilan istimewa dalam lagu ini.

Kmy Kmo dan Luca Sickta yang memperjuangkan genre Hip Hop berkonsepkan ritma atas puisi, cukup dikenali dengan karya ciptaan yang sarat dengan tradisi kemelayuan dari segi bunyi dan bahasanya.

Bertunjangkan konsep yang sama, ‘Tujuh Nasihat’ bukan sahaja berpaksikan kepada elemen muzik kemelayuan malah bait-bait katanya turut melambangkan kesantunan orang Melayu dalam memberi kritikan sosial menggunakan bahasa kiasan.

SITI NURHALIZA
SITI NURHALIZA

Menerusi ‘Tujuh Nasihat’, kolaborasi Datuk Siti bersama dengan rapper duo ini dilihat sangat bertepatan dan berpadanan kerana masing-masing mempunyai jati diri kemelayuan yang sangat tinggi dalam berkarya.

Single ini juga bertujuan untuk mengubat kerinduan para peminat Datuk Siti sebelum beliau muncul dengan album penuh pada bulan April nanti.

Single terbitan Siti Nurhaliza Productions dengan kerjasama Universal Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music.

Advertisement