Anda di sini

Zahirah, Zizan & Maya Karin dalam filem ‘Bulan & Pria Terhebat’

Advertisement
 

PENGARAH kreatif Ghaz Abu Bakar yang terkenal dengan filem ‘Polis EVO’ kembali mengubah lanskap industri perfileman tempatan dengan filem aksi komedi terbaru arahannya berjudul ‘Bulan & Pria Terhebat’.

Sekian lama filem-filem aksi di Malaysia seringkali diterajui oleh pelakon lelaki, kali ini Ghaz berani mempertaruhkan pelakon wanita iaitu Zahirah Macwilson sebagai peneraju utama bagi filem ini menerusi watak Bulan.

Isu utama yang ingin diketengahkan dalam filem ini adalah sindiket pemerdagangan manusia yang dilihat semakin berleluasa, termasuk di Malaysia.

Trailer rasmi filem yang dinanti-nantikan ini telah pun dilancarkan pada 12 Februari yang lepas.

Filem ini mengisahkan tentang Bulan, pelatih di dalam pasukan tentera khas Indonesia yang menyeludup masuk ke dalam sindiket pemerdagangan manusia bagi mencari adiknya, Melati.

Melati adalah seorang gadis yang diperdaya dan dibawa ke Malaysia untuk dijadikan gadis liburan.

Bulan bertemu Haris, seorang pemandu e-hailing yang prihatin dan sudi membantu Bulan mendapatkan kembali adiknya daripada genggaman bapa ayam iaitu Agus dan ketuanya, Ricky. Ricky mengarahkan Tony, seorang pembunuh upahan untuk menghapuskan Bulan dan Haris.

Mampukah Bulan mempertahankan dirinya demi mendapatkan kembali adiknya Melati? Sama-sama kita tonton di pawagam 12 Mac ini.

Berbekalkan kos sebanyak RM3.6 juta, filem ini berjaya disiapkan dalam tempoh 45 hari di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan Johor Bahru pada dua tahun lalu.

Selain Zahirah, filem ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Zizan Razak, Alif Hadi, Didie Alias, Aprena Manrose, Sein Qudsi, Khir Rahman, Rashidi Ishak, Mimi Ernida, Bell Ngasri, Sofia Dendroff, Yus Noor serta penampilan khas oleh Maya Karin.

Diterbitkan oleh Nizra Production Sdn Bhd dengan kerjasama Astro Shaw dan Skop Productions Sdn Bhd, filem ‘Bulan & Pria Terhebat’ bakal menggegarkan pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 12 Mac 2020.

Advertisement