Anda di sini

MMCT 2020 terapkan elemen Borneo kontemporari dalam peragaan

Advertisement
 Juara Ms. & Mrs. Cultural and Tourism 2020 merakamkan gambar kenangan bersama penyokong yang hadir.
ALBUM: Juara Ms. & Mrs. Cultural and Tourism 2020 merakamkan gambar kenangan bersama penyokong yang hadir.

KETERAMPILAN 15 peserta dari pelbagai etnik sekitar Borneo dalam memperagakan karya yang berunsurkan budaya menyaksikan anak kelahiran Kota Kinabalu, Annie Liew yang berbangsa Sino Murut tampil sebagai juara. 

Acara Ms. & Mrs. Cultural and Tourism 2020 (MMCT2020) dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tuaran yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, di Pusat Kebudayaan Penampang baru baru ini. 

Memperagakan kostum budaya Bajau Laut dan Dusun Lotud, penggabungan kreatif elemen puisi dan tarian dalam persembahan membawa tuah pada Annie Liew dimana beliau juga mendeklamasikan puisi bertajuk ‘Sabah Ibunda Keindahan - Sayang Sabah’ karya ulung mahasiswa Seni Kreatif Universiti Malaysia Sabah (UMS) Yeon Amsalie @ Amsalib Pisali yang dideklamasi dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Bajau Laut dan bahasa Inggeris, memukau barisan para juri profesional yang diketuai oleh juruhebah radio DJ Selina selaku ketua juri. 

Usaha Tati Studio dalam mengangkat hasil karya kreatif sekitar Sabah ini bertujuan melestarikan persembahan kebudayaan dan promosi pelancongan sekaligus menyemarakkan semangat cinta akan budaya dalam kalangan remaja khususnya. 

Juara Annie Liew mengakui bahawa setiap peserta memperagakan hasil karya yang kreatif dan inovatif, namun penyertaan julung kali itu membawa tuah kepada dirinya meskipun masa yang diberikan untuk latihan hanya sebulan sahaja. 

Pertaruhan deklamasi puisi dan tarian tradisi Borneo serta diikuti dengan persembahan tarian Igal-Igal dengan menggabungkan tarian Igal Tabawan dan Igal Tarirai daripada masyarakat Bajau Laut Semporna tidak menafikan keputusan juri profesional pada malam itu. 

Sokongan padu daripada ahli keluarga dan rakan-rakan menjadi pembakar semangat beliau untuk menyertai pertandingan ini sekaligus menjadi duta kecil Sabah untuk mempromosi kebudayaan dan pelancongan yang sememangnya terkenal dengan kekayaan sumber diversiti, keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian rumpun etnik. 

Sokongan padu para penonton pada malam itu menjadi kekuatan beliau untuk menampilkan persembahan sebaik mungkin dan akhirnya menjadi kenangan manis dalam perjalanan karier hidupnya. 

Para pemenang membawa pulang hadiah berupa piala dan wang tunai beserta selempang dan tiara pada malam Anugerah MMCT 2020 yang melabuhkan tirainya pada Ahad di Pusat Kebudayaan Penampang. - Artikel sumbangan Mohd Afis Ismail

Advertisement