Anda di sini

Seramai 80 murid menghadiri klinik olahraga anjuran SSC

Advertisement
 (Dari enam kiri, barisan kedua) Ahmad, Mikar serta para guru dan murid-murid yang menyertai ‘Kids Athletics Clinic For Primary School 2020’ di Sibu, semalam.
ASAH BAKAT: (Dari enam kiri, barisan kedua) Ahmad, Mikar serta para guru dan murid-murid yang menyertai ‘Kids Athletics Clinic For Primary School 2020’ di Sibu, semalam.

SIBU: Seramai 80 murid dari lapan sekolah rendah di sini telah dipilih untuk menghadiri ‘Kids Athletics Clinic For Primary School 2020’ selama dua hari yang diadakan di Stadium Tertutup Sibu, semalam.

Pengurus bahagian Pembangunan Sukan, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Ahmad Rodzli Hashim berkata, ia merupakan program pembangunan asas yang bertujuan untuk mengetengahkan potensi atlet muda sebagai juara masa depan.

“Keseluruhan niat kami adalah untuk menjadikan Sarawak sebagai pusat kecergasan sukan dan diharap melalui klinik ini, kami akan dapat mencari atlet berbakat baharu sebagai jaguh masa depan,” katanya berucap ketika merasmikan klinik tersebut.

Hadir sama ialah Pegawai SSC Wilayah Tengah Mikar Changgan.

Sekolah-sekolah yang terlibat termasuk SJKC Tung Hua, SJKC Tiong Hin, SK Agama, SK Perbandaran No.4, SJKC Kwong Hua, SK Sibu Jaya, SK Kampung Bahagia Jaya dan SK Sungai Pasai.

Ahmad berkata, mereka kini sedang berusaha untuk mengumpul atlet dari peringkat awal usia supaya dilatih dan berpotensi untuk diketengahkan dalam apa jua jenis sukan yang dikuasai para atlet itu apabila tibanya mereka dikehendaki untuk beraksi di sesuatu peringkat sukan.

“Murid-murid akan dilatih dan diajar mengenai pengetahuan bagaimana menjadi atlet yang berjaya,” katanya.

Beliau berkata, siri seterusnya akan diadakan di Miri, diikuti oleh Kuching dan secara berperingkat akan merangkumi seluruh Sarawak, termasuk Kapit dan Belaga.

Menurutnya, program pembangunan asas untuk sukan lain seperti badminton, bola sepak dan bola tampar juga akan dijalankan di seluruh negeri.

Mengenai perkara lain, Ahmad berkata, kontijen Sarawak kini sedang dalam persiapan rapi dalam menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor pada tahun ini.

“Setakat ini, kami tidak meletakkan apa-apa sasaran cuma menjanjikan persembahan yang terbaik serta memberi saingan sengit,” tambahnya lagi.

Advertisement