Anda di sini

Monsta sasar RM5 juta jualan komik bulanan BoBoiBoy

Advertisement
 Maskot BoBoiBoy menunjukkan komik ‘The Next Chapter Siri Komik BoBoiBoy Galaxy Musim Dua’ sempena pelancaran komik tersebut. — Gambar Bernama
SASAR 5 JUTA: Maskot BoBoiBoy menunjukkan komik ‘The Next Chapter Siri Komik BoBoiBoy Galaxy Musim Dua’ sempena pelancaran komik tersebut. — Gambar Bernama

SYARIKAT pencipta animasi Monsta menyasarkan nilai jualan siri komik bulanan terbaharunya ‘BoBoiBoy Galaxy Musim 2’ berjumlah RM 5 juta tahun ini dengan anggaran cetakan 100,000 naskah sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Nizam Abdul Razak berkata, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran itu kerana komik animasi itu mempunyai peminatnya tersendiri yang masih mahu melihat kandungan komik dalam bentuk fizikal.

“Sebelum ini, kami telah hasilkan komik kompilasi BoBoiBoy musim pertama yang dikeluarkan tiga bulan sekali dengan cetakan 100,000 naskah setahun dan kami merasakan perlu untuk keluarkan ia setiap bulan kerana permintaan yang tinggi daripada peminat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan komik terbaharu BoBoiBoy itu di Kuala Lumpur kelmarin.

Komik bulanan ini turut dipasarkan di negara Asia Tenggara termasuklah di Indonesia, India dan Sri Lanka dalam bentuk fizikal dan digital dalam dwi bahasa bagi memenuhi sambutan yang menggalakkan daripada peminat antarabangsa.

Sebagai persiapan menghadapi permintaan tinggi daripada peminat, komik BoBoiBoy ini akan dipasarkan di pelbagai rangkaian kedai serbaneka, kedai buku dan platform dalam talian bermula 16 Mac ini dengan harga RM5.90 senaskah di Semenanjung Malaysia manakala RM6.90 di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, komik itu akan mengikuti pengembaraan BoboiBoy selepas kemuncak finale filem ‘BoBoiBoy Movie 2’, yang berjaya memecah pelbagai rekod filem tempatan.

“Siri komik ini akan membawa para pembaca mengembara bersama BoBoiBoy dan rakan-rakan untuk mendapatkan kuasa elemental baharu serta berhadapan dengan musuh baharu yang menggerunkan dan setiap isu akan dihiasi dengan 48 muka surat ilustrasi penuh berwarna,” katanya.

— Bernama

Advertisement