Anda di sini

Adat resam pengkebumian kaum Kadazan Dusun Tambunan

Advertisement
 

SELAMAT jalan seorang ayah, seorang datuk, seorang yang sangat prihatin di dalam keluarganya.  

Seluruh hidupnya diserahkan untuk membesarkan anak-anak dan berbakti untuk keluarga. Itulah yang saya dapat lihat dari sudut pandangan saya terhadap bapa mertuaku yang telah pergi selama lamanya dari dunia ini.

Beliau dimasuKkan ke Hospital Tambunan dari rumah kediamannya di Kampung Toboh Tambunan apabila keadaan sakit beliau bertambah teruk pada bulan Disember 2019.  

Tiga minggu kemudian beliau terpaksa di pindah ke hospital besar Keningau untuk perubatan yang rapi kerana penyakit beliau menjadi begitu serius. Sebagai 'pahlawan' yang tersendiri, kelihatan beliau yang begitu berani bertarung nyawa, tetapi akhirnya terpaksa kalah juga  kepada penyakit kanser kolon. 

Beliau meninggal dunia pada 18 Februari 2020 kira-kira jam 10.15 pagi yang hening di hospital keningau.

Bekerja sebagai pembantu hospital sebelum beliau bersara dari Hospital Queen Elizebeth di Kota Kinabalu, beliau adalah orang yang paling berjasa kepada anak-anaknya. 

Bermula bersama isterinya melahirkan anak-anak dan membesarkan mereka dalam suasana yang serba kekurangan, bagi anak-anaknya, jasa dan pengorbanan bapa mereka sangat besar nilainya. 

Beliau serta isterinya, yang berasal dari Tambunan, dengan penuh rasa tanggungjawab membesar, mendidik dan memelihara anak-anak mereka hingga menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat.

Keluarga isteri saya terima hakikat pemergian orang tua mereka kerana beliau sudah lama sakit dan menanggung derita. Dugaan dan ujian yang Tuhan berikan kepada bapa mereka dan ahli-ahli keluarga yang bersedih, pasti ada hikmah di sebaliknya. Sebagai hamba, mereka redha dan terus berusaha mencari redha Tuhan.

 Anak perempuan mendiang yang beragama Islam berjalan di hadapan kereta jenazah bapanya.
IRING: Anak perempuan mendiang yang beragama Islam berjalan di hadapan kereta jenazah bapanya.

Walaupun keluarga isteri saya beragama katolik Kristian, dukungan adat kampung dalam kalangan penduduk kg Toboh Tambunan masih begitu kental sekali.

Sememangnya adat bukan undang-undang atau kepercayaan karut, tetapi lebih kepada menghormati budaya sesama manusia  dan perlu mematuhinya.

Walaupun mereka  penganut Kristian dan mungkin tidak mempercayai peraturan adat kampung, tetapi lebih kepada menghormati kepercayaan orang tua terutama nenek moyang yang patuh dengan adat mereka.

Meskipun tidak boleh dijelaskan secara logik mengenai kaitan kepercayaan tetapi sudah menjadi kemestian supaya menghormati adat resam di kampung mereka harus dihormati dan sanjungi.

Selepas saja kematian bapa isteriku, terdapat beberapa adat harus dilakukan di kalangan masyarakat Kadazan Dusun. Antaranya ialah adat memberitahu, berjaga-jaga dan moginupus.

Memberitahu - semua penduduk kampung akan diberitahu tentang kematian berkenaan. Ini penting kerana setiap ahli masyarakat perlu bekerjasama supaya kesedihan tidak hanya dialami oleh keluarga simendiang. 

Pada masa yang lampau, setiap anggota masyarakat Kadazan Dusun yang tinggal berhampiran tidak boleh melakukan apa-apa pekerjaan terutama apabila upacara pengkebumian dilakukan.

Pekerjaan menanam padi amat dilarang. Mereka percaya pekerjaan itu hanyalah sia-sia kerana tidak mendatangkan hasil. Selain itu kemungkinan penyakit akan menimpa mereka pula.

Berjaga-jaga - selepas dimandikan dan seluruh badan dilap, mayat berkenaan akan dipakaikan dengan pakaian yang indah-indah dan kemudian direnjiskan dengan air wangi. Mayat akan disimpan di rumah selama beberapa hari. Semasa mayat diletakkan di ruang tamu, mayat akan dijaga dengan baik oleh ahli keluarga atas nama penghormatan. Dimasa yang lampau orang kampung percaya tujuannya adalah untuk mengawasi iblis atau jin yang dipercayai akan menerbangkan mayat.

 Anak anak mendiang memgucapkan selamat jalan kepada bapa mereka.
SELAMAT JALAN: Anak anak mendiang memgucapkan selamat jalan kepada bapa mereka.

Moginupus - Moginupus adalah bahasa Kadazan Dusun yang bermaksud simpati terhadap si mati. Ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai akan menangis sekuat hati sebagai menunjukkan simpati terhadap si mati.

Pengkebumian - Pada umumnya masyarakat Kaum Kadazan Dusun  mengamalkan kepercayaan animisme dalam kehidupan mereka. Kebanyakan adat-adat mereka mempunyai unsur-unsur animisme. Kedatangan agama telah mengubah kepercayaandan cara hidup kaum Kadazan Dusun. 

Yang kelihatan sekarang kaum Kadazan Dusun akan mengusung mayat dengan menggunakan keranda. Usungan mayat itu seringkali disertakan dengan paluan gong, gendang, letupan mercun atau senapang dan selepas itu paderi yang diundang akan membuat penghormatan terakhir untuk mendiang supaya perjalanan yang terbaik ke akhirat.

Adat (bukan keprcayaan Kristian) memerlukan ahli keluarga mendiang menghantar makanan pada tiap-tiap petang selama tujuh hari berturut-turut selepas saja pengkebumian. 

Mengikut kepercayaan masyarakat Kadazan Dusun, sebelum roh mendiang berpindah ke tempat lain, roh itu masih memerlukan makanan daripada keluarganya yang masih hidup. Bahan makanan yang disediakan untuk si mendiang tidak boleh diusik oleh sesiapa. Jika diganggu juga seseorang itu akan dikenakan sogit atau denda yang akan di tentukan oleh ketua masyarakat.

 Walaupun keluarga isteri saya beragama katolik Kristian, dukungan adat kampung di kalangan penduduk kg Toboh Tambunan masih begitu kental sekali.
ADAT KAMPUNG: Walaupun keluarga isteri saya beragama katolik Kristian, dukungan adat kampung di kalangan penduduk kg Toboh Tambunan masih begitu kental sekali.

Mengikut kepercayaan masyarakat Kadazan Dusun, sekiranya masa pengkebumian dilakukan pada hari hujan, bermaksud si mendiang berada dalam kesedihan yang diibaratkan sebagai hujan yang turun itu adalah air mata mendiang. Jika cuaca panas bermakna mendiang mendapat kebahagiaan kelak. 

Bagi mereka yang menguruskan kematian, ahli keluarga wajib menghadiahi mereka sehelai sapu tangan  atau pun ajak mereka makan bersama selepas pengkebumian . Apabila balik ke rumah masing-masing, mereka tidak boleh terus naik ke rumah kerana dikehendaki mandi terlebih dahuhu.Barang-barang atau harta benda yang ada di dalam rumah si mendiang  mestilah dikemaskan dan dicuci sehingga bersih.

Selesai sudah pengkebumian, majlis makan akan diadakan. Majlis ini mempunyai beberapa tahap iaitu makan tiga atau tujuh hari/Setelah genap tiga hari pengkebumikan, kenduri makan tiga hari akan diadakan pada malam hari. Pada masa itu keluarga mendiang akan menitikkan tiga titik lilin ke bawah rumah melalui celah lantai. Sekiranya adat makan tujuh hari dilakukan, titikan lilin sebanyak tujuh kali pula dilakukan. Kenduri ini hanya diadakan secara kecih-kecilan bersama saudara-mara dan sahabat-handai sahaja. Makanan yang disediakan adalah makanan harian masyarakat Kadazandusun dan tidak ada makanan istimewa yang disediakan.

Makan 40 hari. Kenduri ini diadakan selepas 40 hari kematian si mendiang. Kenduri kali ini berbeza daripada kenduri yang pertama kerana diadakan pada waktu siang dan malam. Kenduri ini juga lebih besar dengan memanggil seluruh keluarga yang ada pertalian dengan keluarga si mendiang, sahabat handai yang jauh dan dekat. 

Dalam kenduri ini juga seorang kanak-kanak lelaki yang biasanya anak si mendiang akan pergi ke kubur bapanya dengan tujuan menjemput beliau untuk menyertai kenduri itu. Setelah kanak-kanak itu pulang dari perkuburan, barulah mereka yang berada di rumah si mendiang boleh menjamu selera.

Makan 100 hari. Kenduri akan terus diadakan setelah seratus hari kematian. Kenduri kali ini lebih besar jika dibandingkan dengan kenduri 40 hari. Jika kenduri dahulu hanya muzik dimainkan, hanya dijamukan dengan ayam, kuih-muih atau buah-buahan, tetapi kali ini kenduri dilakukan dengan menyembelih seekor kerbau atau lembu. Pada masa yang sama beberapa ekor ayam turut disembelih.

Pada masa yang lampau, tujuan kenduri 100 hari ini diadakan untuk merasmikan penukaran pakaian putih atau hitam  yang selama ini  dipakai sebagai pakaian berkabung keluarga si mendiang dengan pakaian biasa. Dengan ini mereka percaya segala kekotoran atau bala yang terlekat pada tubuh mereka akan hilang. Semangat roh si mendiang juga akan hilang dari tubuh badan mereka.

Sudah lebih seminggu bapa mertuaku pergi selama-lamanya, kelihatan rumah di Kg Toboh kini menjadi sunyi sepi kerana tidak ada kedengaran lagi suara beliau  yang sentiasa memberi kata-kata nasihat dan semangat kepada isteri beliau dan anak-anaknya. 

Suasana yang sepi dan pilu tetap membawa kenangan pahit dan manis . Setiap jasa dan budi baik beliau  akan tetapi dikenang sehingga akhir hayat. Rest in Peace buat bapa mertuaku Gundohing Emmanuel Kondu Malaon. Ahli keluargamu berdoa agar anda berada di kalangan roh-roh orang yang baik-baik dan beriman.
 

  • oleh
  • Advertisement