Anda di sini

‘SYOK Remang’ drama audio seram bahasa Melayu pertama di M’sia

Advertisement
 

PARA peminat genre seram kini boleh menerokai pengalaman seram yang baharu dengan siri ‘SYOK Remang’, drama audio seram yang pertama dalam Bahasa Melayu, di Malaysia, eksklusif di aplikasi SYOK.

‘SYOK Remang’ memanfaatkan minat serta kecenderungan golongan masa kini yang masih mencari-cari kisah seram tradisional, serta meneruskan aspirasi Astro Radio untuk membawakan satu lagi pengalaman baharu radio digital melalui SYOKcast (podcast).

Drama audio ini bukan sahaja bertujuan menghiburkan, malah juga unik, asli dan provokatif dengan jalan penceritaannya yang mengadun dan mengolah kembali kisah-kisah yang terisi dengan representasi makhluk-makhluk mistik, untuk membawa para pendengar ke dimensi lain yang mendebarkan.

Di samping itu, kisah-kisah yang dipaparkan dalam ‘SYOK Remang’ menyentuh isu-isu sosial yang sedang melanda masyarakat hari ini dengan mesej di penghujung ceritanya, sebagai renungan dan teladan.

Siri ‘SYOK Remang’ terdiri daripada lima episod iaitu ‘Hantu Buluh Hutan Kuala Boh’ (Episod 1), ‘Bahana Memakai Susuk’ (Episod 2), ‘Misteri Janin Menangis Di Rumah Sewa No. 43’ (Episod 3), ‘Bertemu Dengan Saka Harimau’ (Episod 4) dan ‘Diganggu Penunggu Hotel’ (Episod 5).

Episod 1 sudah disediakan di aplikasi SYOK, dalam kategori ‘SYOKCasts’ dan peminat-peminat boleh dengarkan episod-episod ‘SYOK Remang’ seterusnya setiap hari Khamis.

Siri ‘SYOK Remang’ ditulis oleh Rosie Haslinda Nasir, penulis buku dan Hakimi As’ari, pakar industri komunikasi dan video, dan disuarakan oleh Rosie Haslinda Nasir.

Rosie yang dilahirkan di Melaka, merupakan graduan School of Architecture, UiTM Shah Alam.

Bermula dengan karya kreatif tersiar buat kali pertama pada usia lapan tahun (1984), Rosie giat menulis sehingga menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) 1991 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, dan novel pertamanya berjudul ‘Harapan’ diterbitkan semasa beliau berusia 15 tahun.

Karya-karya beliau pernah tersiar di Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Siswa, Dewan Pelajar, Al-Islam, Mingguan Malaysia (Ruangan Sastera) dan Berita Minggu (Ruangan Sastera).

Pengalaman penulisan tersebut digunakan sewaktu beliau diberi mandat untuk menghasilkan InTrend Malaysia, majalah Bahasa Melayu pertama terbitan Astro pada tahun 2005.

Antara anugerah yang pernah diterima adalah Pemenang Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank 1994 Kategori Cerpen; Artikel Bahasa Melayu Terbaik MPA Magazine Awards 2015 anjuran Magazine Publishers Association, serta Hadiah Kewartawanan Malaysia 2017 MPI-PETRONAS kategori ‘Rencana Pengarang’.

20 tahun pengalaman sebagai wartawan majalah dan 14 tahun berkhidmat sebagai Editor Urusan InTrend Malaysia, Rosie Nasir kini merupakan penulis bebas sepenuh masa.

Terkini, beliau sedang menyiapkan buku biografi Dr. Soo Wincci yang bakal diterbitkan oleh rumah penerbitan Studio Anai-Anai.

Sementara itu, Hakimi As’ari atau nama sebenarnya Izzat Hakimi Tajul As’ari yang dilahirkan di Muar, Johor pada 8 Oktober 1989 pula merupakan seorang penerbit video, pengarah, pengendali kamera, dan editor yang sudah berkecimpung dalam industri ini lebih dari 8 tahun.

Izzat juga merupakan penerbit/pengarah sebuah segmen digital #MauSembang yang mencapai 20 juta penonton di media sosial.

Selain dari mencipta kandungan video untuk pendidikan, perusahaan dan juga NGO (non-profit organization), beliau juga mempunyai kepakaran dalam berkomunikasi dengan pelbagai masyarakat, di pelbagai platform.

Advertisement