Anda di sini

Mayat lelaki ditemukan tergantung di Suria Inanam

Advertisement
 Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tergantung di blok konkrit di kawasan terbuka di Suria Inanam.
JUMPA: Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tergantung di blok konkrit di kawasan terbuka di Suria Inanam.

KOTA KINABALU: Orang awam dikejutkan dengan penemuan mayat lelaki dalam keadaan tergantung di kawasan terbuka Suria Inanam di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata pihaknya mendapat laporan daripada orang awam pada jam 2.30 petang sebelum ke lokasi kejadian untuk menjalankan kerja siasatan.

“Setakat ini identiti mangsa sudah dikenalpasti dan mangsa adalah lelaki tempatan berumur 29 tahun.

“Hasil siasatan lanjut mendapati mangsa tinggal di sekitar sini bersama ibu saudaranya dan soal siasat terhadap ibu saudara mangsa mengatakan mangsa pernah tidak pulang ke rumah selama dua minggu sebelum ini.

“Mangsa bagaimanapun kembali semula ke rumah seminggu lalu dan dipercayai mengalami kemurungan sebelum menghilangkan diri semula,” katanya.

Katanya mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan itu dipercayai menggantung diri berhampiran blok konkrit sebelum ditemukan orang awam hari ini.

 Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
SIASAT: Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Tambahnya ahli keluarga mangsa yang berada di Tawau sudah dihubungi dan proses pengecaman akan dijalankan esok.

“Hasil pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah terkesan dalam kes ini dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Kes Mati Mengejut,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement