Anda di sini

Ibu bapa beri sokongan penuh demi minat anak terhadap bola sepak

Advertisement
 Abdullah bersama para pemain dan ibu bapa ketika perlawanan bola sepak persahabatan NFPD di Padang C, Sabtu lalu.
CUNGKIL BAKAT: Abdullah bersama para pemain dan ibu bapa ketika perlawanan bola sepak persahabatan NFPD di Padang C, Sabtu lalu.

MENJADIKAN Sarawak sebagai ‘sports powerhouse’ - itu saranan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini dengan menekankan pembangunan infrastruktur sukan yang lengkap dan terkini.

Itu memang wajar dilakukan, dan juga tidak mengetepikan soal pembangunan atlet sendiri dengan mencungkil dan melatih bakat baharu dalam kalangan anak-anak kita bermula dari bangku sekolah rendah.

Mencungkil bakat anak-anak kecil tidak semudah ABC. Sokongan dan dorongan ibu bapa amat mustahak dalam memastikan anak masing-masing berjaya mencapai matlamat dalam sukan diceburi.

 Zamzari dan anaknya, Zulmizal.
TIDAK JEMU: Zamzari dan anaknya, Zulmizal.

Begitu juga anak-anak yang berminat dalam sukan bola sepak - bakat mereka boleh dicungkil menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFPD).

Pada Sabtu lepas, satu perlawanan persahabatan diadakan di Padang C, Kuching, membabitkan enam perlawanan yang dianjurkan NFPD Negeri Sarawak.

Apa yang menarik di sisi padang ialah ibu bapa anak dari pasukan-pasukan menyertai perlawanan ini.

 Abdullah bersama salah satu pasukan yang menyertai perlawanan persahabatan NFPD.
MOTIVASI: Abdullah bersama salah satu pasukan yang menyertai perlawanan persahabatan NFPD.

Hujan lebat tidak mematahkan semangat mereka menghantar, menunggu dan menyaksikan perlawanan bermula kira-kira jam 10 pagi.

Sesekali terdengar jeritan si ibu memberi kata-kata semangat kepada anaknya dari tepi padang. Dapat diandaikan, besar harapan ibu bapa ini hendak melihat anak masing-masing menyerlah dalam sukan bola sepak.

Apatah lagi kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional menjanjikan pendapatan lumayan.

 Hasmawati dan anaknya, Alif.
BANGGA: Hasmawati dan anaknya, Alif.

Antara ibu yang memberi sokongan kepada anaknya di tepi padang ketika perlawanan itu diadakan ialah Hasmawati Hussin dari Kota Samarahan.

Dia menemani anaknya, Muhammad Alif Azari, berumur 14 tahun.

Dia menceritakan anaknya berlatih bola sepak sejak darjah empat hingga sekarang di tingkatan dua.

“Dari dia tak pandai sepak bola, dan sekarang dah ada kemajuan. Hingga dia dapat main di persada kebangsaan,” ujarnya kepada Utusan Borneo.

 Antara pasukan yang bertanding pada perlawanan persahabatan NFPD.
HARAPAN: Antara pasukan yang bertanding pada perlawanan persahabatan NFPD.

Hasmawati juga bangga dengan disiplin anaknya.

“Dia tak ada membuang masa, dia ikut latihan pada Sabtu dan Ahad di Kota Samarahan dari jam 8 pagi hingga 11 pagi,” ujarnya sambil menambah, akademik Alif tidak terjejas meskipun bermain bola sepak.

Golongan bapa juga tidak mahu kalah memberi sokongan kepada anak mereka yang bertungkus-lumus menjaringkan gol dalam padang.

 Yusri dan anaknya, Aniq.
SOKONG: Yusri dan anaknya, Aniq.

Yusri Fauzi begitu bangga dengan pencapaian anaknya Muhammad Aniq Aiman. Dia menjelaskan anaknya memasuki akademi bola sepak sejak darjah empat dan pernah dihantar ke Terengganu.

Aniq yang sekarang mengikuti latihan di Pusat Latihan Daerah Kuching di Bako, pernah mewakili Kuching dan Sarawak.

“Dari segi disiplin dia okay. Dari tak berbuat apa-apa, petang lepak, bagus dia masuk akademi untuk berlatih main bola.

“Dah letih latihan, dia duduk rumah dan tak pergi mana-mana. Rehat di rumah dan buat kerja sekolah,” jelasnya.

Menurutnya, akademik anaknya yang berumur 14 tahun dan bersekolah di sekolah menengah di Bandar Baru Samariang tidak terjejas.

Zamzari Suut, bapa kepada Zulmizal yang kini bersekolah di Sekolah Sukan SMK Tabuan Jaya tidak pernah jemu menemani anaknya ke perlawanan bola sepak.

Jelasnya, anaknya memasuki akademi bola sepak di Kota Samarahan sejak berumur sembilan tahun sehingga sekarang.

 Abdullah bersama pasukan yang menyertai perlawanan persahabatan NFPD.
KAGUM: Abdullah bersama pasukan yang menyertai perlawanan persahabatan NFPD.

Anaknya pernah mewakili Sarawak dalam pasukan bawah 10 tahun.

“Komitmen ibu bapa dan jurulatih dapat mengetengahkan kebolehan anak-anak. Saya tengok di sini kita memilih anak-anak dari awal untuk menjadi lebih tinggi peringkat mereka,” jelasnya.

Perlawanan pada Sabtu itu turut disaksikan Exco Bebas Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Abdullah Saidol.

Dia datang dengan harapan agar bola sepak Sarawak lebih berkembang dengan melatih dan mencungkil lebih ramai anak-anak muda.

Abdullah yang juga Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak menjelaskan, dia amat kagum dan menghargai pengorbanan ibu bapa yang memberi sokongan kepada anak mereka yang meminati bola sepak pada usia muda.

Dia menasihati agar anak-anak muda sentiasa berdisiplin bukan hanya ketika latihan bola sepak tetapi juga dalam pelajaran.

Penghargaan turut dia berikan kepada jurulatih NFPD yang disifatkannya sebagai cekal dan tabah dalam mengurus dan melatih anak-anak muda dalam membentuk insan yang pandai bergaul dalam masyarakat.

“Bersukan bukan hanya tentang kalah atau menang dalam sesuatu pertandingan tetapi juga tentang falsafah bekerjasama secara berpasukan, erti persahabatan dan pengurusan emosi dan akal yang matang,” jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement