Anda di sini

Penyingkiran Neymar cemari kemenangan 4-3 PSG ke atas Bordeaux pada aksi Ligue 1

Advertisement
 Neymar (kanan) bersaing dengan pemain pertahanan Bordeaux, Laurent Koscielny pada perlawanan Ligue 1 Perancis di Parc des Princes, Paris kelmarin. — Gambar AFP
SENGIT: Neymar (kanan) bersaing dengan pemain pertahanan Bordeaux, Laurent Koscielny pada perlawanan Ligue 1 Perancis di Parc des Princes, Paris kelmarin. — Gambar AFP

PARIS, Perancis: Edinson Cavani menjaringkan gol ke-200 beliau bersama Paris Saint Germain (PSG) dan Marquinhos menjaringkan dua gol ketika pendahulu Ligue 1 Perancis itu bangkit dari kekalahan kepada Borussia Dortmund dalam aksi Liga Juara-Juara untuk menewaskan Bordeaux 4-3 Ahad lepas namun kemenangan dicemari oleh penyingkiran Neymar pada lewat permainan.

Selepas tewas 1-2 kepada Dortmund pada perlawanan pertama pusingan kedua pertengahan minggu, kelemahan pertahanan PSG terdedah sekali lagi apabila Hwang Ui-jo meletakkan Bordeaux di hadapan pada perlawanan di Parc des Princes.

PSG berjaya bangkit menerusi gol Cavani dan Kylian Mbappe, di antara dua gol Marquinhos tetapi ada gol pelik dilakukan oleh pemain pertahanan, Pablo dan Ruben Pardo menyebabkan penamat mendebarkan untuk PSG.

Keadaan menjadi lebih meruncing buat PSG apabila Neymar dibuang padang pada minit kecederaan selepas menerima kad kuning kedua kerana bergelut dengan Yacine Adli, menyebabkan beliau bakal berdepan penggantungan.

Selain dari masalah di benteng pertahanan, kemungkinan penggantungan Neymar adalah sesuatu yang perlu ditangani oleh jurulatih PSG, Thomas Tuchel, walaupun pasukannya kini berkelebihan 13 mata di singggahsana liga dari pencabar terdekat, Marseille, yang tewas 1-3 kepada Nantes pada perlawanan hari Sabtu.

“Beliau adalah manusia biasa dan beliau juga ada batas kesabaran. Pemain itu (Adli) mengasarinya beberapa kali tetapi tidak dilayangkan sebarang kad, jadi ia agak pelik,” kata Tuchel.

Merujuk kepada kerapuhan benteng pertahanan, Tuchel berkata: “Kami bolos tujuh gol dari dua perlawanan liga dan ia bukan normal. Ia sukar untuk mengembalikan keyakinan tetapi perkara terbaik untuk kami ialah mencapai kemenangan. Ia memberikan kami asas untuk terus berusaha.”

Satu lagi kejuaraan domestik bakal menanti walaupun fokus utama ialah kejuaraan di Eropah, dengan PSG mempunyai perlawanan kedua pada 11 Mac untuk menentukan sekiranya kelab mampu mencabar kejuaraan yang menjadi idaman pemilik kelab dari Qatar.

PSG memulakan perlawanan menentang Bordeaux dengan hambar apabila Hwang membuka jaringan pada minit ke-18.

PSG berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-25 apabila Cavani menanduk umpanan Angel Di Maria sebelum Marquinhos meletakkan PSG di hadapan buat kali pertama pada minit akhir separuh masa pertama.

Bordeaux berjaya mengikat kedudukan 2-2 beberapa saat sebelum rehat.

Pemilihan Sergio Rico berbanding Keylor Navas di pintu gol bakal membangkitkan perdebatan apabila tolakan lemah Rico terkena Pablo dan masuk ke pintu gol untuk menjaringkan gol penyamaan.

Marquinhos menjadikan kedudukan 3-2 buat PSG pada  minit ke-3-2 dan apabila Ruben Pardo hilang bola, Cavani mengumpan bola kepada Mbappe untuk gol keempat PSG.

Pardo menebus kesilapannya dengan menjaringkan gol ketiga Bordeaux, dan gol bolos kesembilan PSG dari tiga perlawanan.

Mauro Icardi ada menjaringkan gol untuk PSG tetapi tidak dibenarkan pengadil sebelum Neymar dibuang padang.

Pada perlawanan awal, Rennes merampas semula tangga ketiga liga dari Lille selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Nimes 2-1. — AFP

Advertisement