Anda di sini

Liga Perdana: United mudah menewaskan Watford

Advertisement
 Fernandes (dua kanan) melepaskan rembatan ketika berdepan asakan daripada pemain Watford ketika bersaing pada perlawanan Liga Perdana di Old Trafford, Manchester kelmarin. — Gambar AFP
AKSI CEMERLANG: Fernandes (dua kanan) melepaskan rembatan ketika berdepan asakan daripada pemain Watford ketika bersaing pada perlawanan Liga Perdana di Old Trafford, Manchester kelmarin. — Gambar AFP

LONDON, England: Manchester United menghampiri pasukan di tangga keempat, Chelsea selepas mudah menewaskan kelab tercorot, Watford sementara Wolves dan Arsenal juga meningkatkan peluang untuk memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Dengan pendahulu liga, Liverpool hampir pasti akan memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini, perhatian lebih tertumpu kepada saingan untuk kelayakan bola sepak Eropah, dengan hanya 10 mata memisahkan di antara Chelsea dan Southampton, yang berada di tangga ke-12 liga.

Pemain baharu United, Bruno Fernandes, membuka jaringan buat United pada perlawanan di Old Trafford dari satu tendangan penalti sebelum dua gol dari Anthony Martial dan Mason Greenwood pada separuh masa kedua mengesahkan kemenangan 3-0.

Ini bermakna United, yang bergelut mencari konsistensi sepanjang musim, kini berada di tangga kelima liga dengan 41 mata, tiga mata di belakang Chelsea.

United memulakan perlawanan dengan memberikan penghormatan kepada mendiang Harry Gregg, wira bencana udara 1958 di Munich.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer memberikan pujian kepada Fernandes, yang menerima anugerah pemain terbaik perlawanan kerana aksi cemerlang menentang Watford, yang berada di tangga kedua dari bawah liga.

“Beliau bermain dengan hebat,” kata Solskjaer. “Beliau telah memberikan semua orang perangsang. Beliau sentiasa mahukan bola, beliau merancang pergerakan pasukan.

“Saya sangat gembira dengan beliau. Beliau melakukan sesuatu kepada penyokong. Beliau menunjukkan kriteria sebagai seorang pemain Manchester United. Beliau sememangnya tambahan hebat kepada pasukan.”

Fernandes menyedari tugas sukar beliau untuk membantu United kembali ke bola sepak Liga Juara-Juara selepas satu musim beraksi dalam Liga Europa.

“Semua orang tahu kami mahu bermain dalam Liga Juara-Juara. Saya di sini untuk membantu pasukan memburu tempat dan mengekalkan rentak kemenangan,” kata beliau.

Wolves, di tangga kelapan, dua mata di belakang United selepas kemenangan 3-0 ke atas Norwich di Molinuex.

Diogo Jota menjaringkan dua gol dan Raul Jimenez menjaringkan gol ke-21 beliau dalam semua pertandingan untuk mengekalkan impian Wolves beraksi di Eropah pada musim hadapan.

Pengurus Wolves, Nuno Espirito Santo berkata pasukannya berjaya mengawal permainan dengan baik.

Apabila ditanya tentang mencabar satu tempat ke Liga Juara-Juara, beliau berkata: “Kami akan mengekalkan fokus kerana ia sukar untuk mengekalkan prestasi anda untuk sepanjang musim.

“Selepas itu, kita akan lihat tetapi ia adalah tentang membina pasukan anda dan menyediakan mereka untuk bersaing pada bila-bila masa.”

Pada perlawanan lewat, Arsenal bangkit dari permulaan buruk untuk memberikan pengurus Everton, Carlo Ancelotti, kekalahan pertama dalam Liga Perdana sejak Tahun Baharu.

Dominic Calvert-Lewin membuka jaringan dengan satu gol akrobatik selepas Arsenal gagal menangani satu tendangan percuma pada minit pertama tetapi Eddie Nketiah mengikat kedudukan pada minit ke-27 dan enam minit kemudian, Arsenal mendahului kedudukan buat kali pertama menerusi gol Pierre-Emerick Aubameyang.

Richarlison mengikat kedudukan pada minit akhir sebelum rehat tetapi Arsenal kembali di hadapan tidak lama selepas rehat menerusi gol Aubameyang, yang kini penjaring terbanyak bersama liga dengan 17 gol.

Arsenal masih tanpa kalah dari tujuh perlawanan liga dan kemenangan Ahad lepas melonjak mereka ke tangga kesembilan liga.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata ia adalah minggu terbaik beliau sejak menjadi pengurus kelab pada bulan Disember.

“Perkara terbaik ialah semangat yang kami tunjukkan selepas kembali dari bola sepak Eropah – tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari,” kata beliau.

“Dan kembali bangkit selepas ketinggalan, kesungguhan yang ditunjukkan pemain sememangnya luar biasa.” — AFP

Advertisement