Anda di sini

Empat atlet SK Long Sait mewakili MSSR Baram pada Kejohanan Olahraga MSSR Miri

Advertisement
 Atlet-atlet SK Long Sait ketika menyertai Kejohanan Olahraga MSSR Zon Baram Hulu di Miri.
CEMERLANG: Atlet-atlet SK Long Sait ketika menyertai Kejohanan Olahraga MSSR Zon Baram Hulu di Miri.

SIBU: Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sait di Miri melakarkan sejarah tersendiri apabila empat daripada lapan atletnya mewakili Zon Baram Hulu terpilih secara merit mewakili Kontinjen MSSR Daerah Baram pada Kejohanan Olahraga MSSR Bahagian Miri di Stadium Miri.

Atlet-atlet terpilih ialah Martin Engan bagi kategori lelaki bawah 12 tahun (L12), Carolline Tak kategori wanita bawah 10 tahun (W10), Georgeswell Richard (L10) dan Niccorytta Alya Henry (W10).

Semua mereka akan bersaing bagi acara balapan dan padang mengikut kategori masing-masing pada kejohanan tersebut.

“Saya bersedia, saya tidak takut bertanding. Walaupun saya sering dimarahi jurulatih kerana nakal, saya tetap berlatih bersungguh-sungguh” kata Georgeswell ditemui selepas sesi latihan sebelum ini.

Sementara itu, bagi Niccorytta Alya: “Kami banyak belajar daripada atlet-atlet senior”.

“Ini adalah pentas tertinggi pertama bagi saya dan Swen (Georgeswell). Saya teruja apabila pertama kali menjejakkan kaki di trek sintetik. Sangat lembut dan mengujakan,” katanya.

Martin dan Carolline dilihat cukup fokus dengan persiapan mereka untuk berhadapan dengan pesaing-pesaing baharu.

“Kami berlatih dengan gigih. Diharapkan kami dapat memberi saingan terbaik. Warna pingat hanya bonus namun apa kami berdua harapkan adalah peningkatan catatan masa rekod peribadi kami,” kata Martin dan Carolline.

Pada hujung minggu lalu, saingan olahraga peringkat Bahagian Miri telah diadakan.

Atlet-atlet terbaik menyerlah kejohanan edisi ini mewakili Kontinjen MSSR Bahagian Miri ke Kejohanan Olahraga Peringkat Negeri dijadualkan berlangsung di Kuching pada 29 Mac ini.

Advertisement