Anda di sini

Pembinaan jalan antara punca berlaku Tusan Cliff runtuh

Advertisement
MUSA
MUSA

MIRI: Pembinaan jalan menuju ke pantai berdekatan Tusan Cliff dipercayai menjadi salah satu faktor penyebab berlakunya kejadian runtuhan struktur terbabit.

Pengerusi Malaysian Nature Society (MNS) Miri Musa Musbah berkata, pembinaan jalan ke pantai berdekatan Tusan Cliff itu dibuat bertujuan memudahkan jentera turun bagi membuat benteng pemecah ombak berdekatan struktur itu.

“Bagaimanapun pembinaan jalan itu menyebabkan batu pasir yang lembut menjadi seperti span dan melongsor jatuh mengikut kecuraman 45 darjah itu.

“Pada pendapat saya, perundingan geologi hendaklah dibuat sebelum membuat jalan tersebut,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Menurut beliau lagi, pembersihan tumbuhan-tumbuhan yang menyerap air hujan menyebabkan batu pasir akan turun dan berakhir di antara batu pasir yang lebih keras.

“Berat struktur besar ini dengan kecenderungan curam dan permukaan licin di atas batu pasir yang lebih keras menyebabkan keseluruhan struktur akan tergelincir dan runtuh,” ujarnya.

Musa berkata kejadian yang dipercayai berlaku pada waktu malam ini telah mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku kepada pelawat yang datang ke tempat tersebut.

Sebagai pakar dalam nanoplankton dan pernah bekerja di Jabatan Geologi Shell, beliau berkata kawasan pantai merupakan kawasan permainan mereka dalam membuat kajian geologi.

“Apabila saya menjadi pengerusi MNS Miri, lawatan geologi adalah satu projek yang kami buat, selain daripada melihat dan menghitung flora dan fauna serta astronomi,” jelasnya.

Dalam kejadian malam Khamis lalu, Tusan Cliff atau lebih dikenali sebagai struktur kepala kuda minum air di Pantai Tusan, Bekenu hilang sekelip mata apabila didapati runtuh.

Struktur terbabit disedari runtuh pada pagi Jumaat oleh peniaga di situ dan pekerja pembinaan melakukan kerja-kerja menaik taraf kawasan pelancongan tersebut.