Anda di sini

Anwar puas hati dengan pendirian Dr Mahathir

Advertisement
 
Anwar hadir bagi mempengerusikan mesyuarat khas MPP di Ibu Pejabat PKR hari ini. Turut hadir Pengerusi Majlis Penasihat PKR yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Gambar Bernama
Anwar hadir bagi mempengerusikan mesyuarat khas MPP di Ibu Pejabat PKR hari ini. Turut hadir Pengerusi Majlis Penasihat PKR yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Gambar Bernama

PETALING JAYA: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau berpuas hati dengan pendirian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai prinsip yang diambil pemimpin itu susulan perkembangan politik semasa tanah air. 

Tanpa menjelaskan butiran lanjut, Anwar berkata beliau telah berjumpa dengan Dr Mahathir di kediamannya dan telah berbincang beberapa perkara.

"...dan saya puas hati dengan pendirian dia (Dr Mahathir) bahawa prinsip harus kita utamakan,” katanya kepada pemberita setibanya di ibu pejabat PKR bagi mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat parti itu.

Ketika ditanya sama ada akan berlaku perubahan kerajaan, Anwar berkata : “Kita jangan mudah tunduk kepada gerombolan yang mahu mengkhianati amanah rakyat dalam pilihan raya yang lepas".

“Agenda reform harus diteruskan. Itu yang saya boleh sebut setakat ini," kata Anwar.

Beliau berkata pertemuannya dengan Dr Mahathir berjalan dengan sangat baik.

Menjawab persoalan wartawan mengenai kemungkinan Dr Mahathir akan membuat sebarang perubahan, Anwar berkata "Saya tak boleh sebut apa, memadai kita jelas setakat itu, mesyuarat yang sangat baik.

“Saya terkesan dengan sikap dan pendirian beliau (Dr Mahathir) tentang perubahan dilakukan... tidak tunduk kepada gerombolan yang mahu merampas kuasa tanpa menetap agenda perubahan," katanya.

Anwar tiba ke mesyuarat parti itu bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR.

Dalam pada itu, Anwar turut dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, petang ini. - Bernama

Advertisement