Anda di sini

STAR kini dikenali Parti Aspirasi Rakyat Sarawak atau ASPIRASI

Advertisement
Lina  (tengah) bersama beberapa pemimpin parti menunjukkan logo ASPIRASI semasa pengumuman nama dan logo baharu parti.
Lina (tengah) bersama beberapa pemimpin parti menunjukkan logo ASPIRASI semasa pengumuman nama dan logo baharu parti.

KUCHING: Parti Reformasi Sarawak (STAR) telah mengumumkan nama parti kini telah ditukar kepada kepada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI).

Presiden parti Lina Soo berkata nama berkenaan mencerminkan aspirasi ahli parti dan penyokong mereka serta rakyat yang ingin melihat negeri Sarawak yang bebas, kaya dan gemilang.

Beliau berkata perubahan nama itu diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 24 Januari tahun ini.

"Sekarang berada pada abad ke-21. Jika kita tidak berubah, tiada yang akan berubah. Kemajuan memerlukan perubahan, maju ke hadapan memerlukan perubahan.

"Maka itu, STAR ingin mengumumkan bahawa kami menukar nama kepada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak atau akronimnya ASPIRASI," katanya pada sidang media sempena mengumumkan nama dan logo parti baharu di sini, hari ini.

Lina berkata, sejajar dengan pertukaran nama, mereka juga telah mengubah logo mereka kepada perisai dan kupu-kupu Rajah Brooke.

Beliau berkata reka bentuk perisai yang ikonik itu diilhamkan oleh keinginan mereka untuk melindungi dan mempertahankan Sarawak, yang berada di persimpangan politik pada hari ini, di mana jika salah pilih bermakna kemiskinan, eksploitasi dan kepapaan akan berlaku selanjutnya.

Lina berkata kuku-kupu Rajah Brooke yang cantik dan indah merupakan kupu-kupu Sarawak dari segi nama.

Pada 1855, katanya, peneroka dan pakar alamiah legenda Alfred Russel Wallace menjumpai kupu-kupu itu di Borneo dan menamakannya sempena rakan karibnya James Brooke, Rajah Sarawak yang pertama.

Lina berkata dengan perubahan nama dan logo ini, matlamat dasar teras ASPIRASI adalah untuk berkempen bagi referendum Sarawak bagi membolehkan rakyat Sarawak menentukan dan memaklumkan semua melangkaui keraguan munasabah tentang masa depan yang mereka pilih.

Beliau percaya rakyat Sarawak kini sudah matang dari segi politik dan berupaya untuk membuat keputusan yang bermaklumat bagi menentukan kedaulatan dan takdir tanah air mereka.

STAR mula-mula diluluskan dan didaftar pada 9 Oktober 1996.

Ia merupakan parti serpihan Parti Nasional Sarawak (SNAP) yang ditubuhkan oleh mendiang Dr Patau Rubis selepas beliau dipecat dari jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan Menteri Muda kabinet negeri.

Advertisement