Anda di sini

Scienceploration Camp 2020 pupuk minat pelajar dalami STEM

Advertisement
Ahmad (duduk tengah) ditemani tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama pelajar yang menyertai 'Scienceploration Camp 2020'.
Ahmad (duduk tengah) ditemani tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama pelajar yang menyertai 'Scienceploration Camp 2020'.

KOTA SAMARAHAN: Program 'Scienceploration Camp 2020' platform untuk memupuk minat dalam kalangan pelajar sekolah mempelajari pelbagai aspek Sains dan Matematik sekali gus dapat menggalakkan mereka menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata, aliran Sains pada ketika ini kurang mendapat sambutan dari kalangan pelajar yang mana bilangannya semakin berkurangan saban tahun.

"Pada masa ini, ramai pelajar lebih cenderung melanjutan pelajaran mereka dalam aliran Sastera berbanding Sains.

"Oleh itu, besar harapan kami untuk melihat apa yang kami laburkan pada hari ini menerusi penganjuran Program 'Scienceploration Camp 2020' dapat membuahkan hasil yang memberangsangkan dalam melahirkan golongan Sains, falsafah dan ahli-ahli teknologi yang memberi manfaat kepada negara khususnya dan masyarakat amnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program 'Scienceploration Camp 2020' yang disertai 16 sekolah sekitar Kuching dan Kota Samarahan melibatkan 120 pelajar di Dewan Seminar PITAS  Unimas di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, sokongan dan kerjasama daripada sekolah amatlah diperlukan untuk menambah minat pelajar dalam menerokai Sains dan Matematik dengan lebih mendalam.

Jelasnya, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) amat menyokong usaha untuk melahirkan pelajar celik Sains dan Matematik.

"Justeru, sokongan dan kerjasama daripada sekolah seperti ini amat diperlukan kerana ia bukan sahaja dapat melahirkan pelajar yang tinggi daya inovasi malah dapat menjadi contoh kepada sekolah lain bahawa peranan guru dan sekolah amat penting untuk melahirkan pelajar aktif dan genius.

"Kita amat mengharapkan lebih banyak sekolah yang dapat memberi kerjasama seperti yang ditunjukkan ini," katanya.

Terdahulu, Pengarah Pusat Pengajian Pra-Universiti Profesor Madya Dr Muna Sabri berkata, program itu merupakan aktiviti tahunan sejak kejayaan penganjurannya pada 2016.

Menurutnya, program itu bagi memupuk minat dalam kalangan pelajar untuk mempelajari Sains dan Matematik dengan lebih menarik melalui aktiviti dan eksperimen yang dirancang.

"Semua aktiviti dijalankan dalam kawasan UNIMAS dengan penglibatkan pensyarah dari pelbagai bidang dan berpengalaman serta dibantu siswazah yang terlatih sebagai pemudah cara," ujarnya sambil menambah program itu diadakan dari 22 hingga 23 Februari di situ.

  • oleh
  • Advertisement