Anda di sini

'Sayangi Sawitku' penjenamaan minyak sawit Malaysia sebagai produk lima bintang dunia

Advertisement
 Madius menerima cenderahati daripada Pengerusi Eksekutif Teck Guan Group Datuk Hong Ngit Ming.
CENDERAHATI: Madius menerima cenderahati daripada Pengerusi Eksekutif Teck Guan Group Datuk Hong Ngit Ming.


TAWAU : Kempen 'Sayangi Sawitku' sesuai dengan penjenamaan minyak sawit Malaysia sebagai produk lima bintang untuk dunia yang merupakan kesinambungan daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh imej industri sawit negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, usaha itu merupakan hasrat kerajaan untuk menghasilkan minyak sawit yang mampan dan selamat untuk pemakanan.

"Pengeluaran minyak sawit yang mampan adalah selari dengan kesemua 17 Sustainable Development Goals (SDGs) seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan juga meliputi lima prinsip  pembangunan mampan iaitu People, Planet, Partnership, Prosperity dan Peace. 

"Pelaksanaan kempen ini juga akan memastikan industri sawit negara yang lebih berdaya saing, sekaligus menjawab dan menangkis tohmahan negatif terhadap industri sawit negara," katanya. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau semasa merasmikan majlis pelancaran kempen 'Sayangi Sawitku' peringkat negeri Sabah di Teck Guan Cocoa Village, di sini. 

Beliau berkata, kerajaan Sabah sangat menyokong inisiatif pihak kerajaan Persekutuan untuk melancarkan  kempen ini. Sepertimana yang kita tahu, industri sawit berperanan penting dalam pembangunan Negeri Sabah di mana negeri ini pengeluar kedua terbesar sawit negara.

"Lebih 30,000 daripada penduduk Sabah adalah pekebun kecil sawit. Selain itu, lebih dari 60,000 rakyat negeri Sabah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri sawit ini," katanya. 

Menurutnya, industri sawit negara sedang menghadapi cabaran, tohmahan dan kritikan khususnya dari pihak Kesatuan Eropah yang mendakwa penanaman sawit mengakibatkan penyahhutanan tropika dan kemusnahan biodiversiti terutamanya kepupusan Orang Utan dan gajah pygmy.

"Tohmahan-tohmahan ini adalah tidak benar sama sekali. lni adalah usaha pihak tertentu yang berkepentingan dan anasir-anasir luar untuk menjatuhkan industri sawit negara sekaligus memberi kesan kepada periuk nasi pengusaha-pengusaha sawit, termasuk para pekebun kecil.

"Oleh itu, Kempen Sayangi Sawitku ini adalah salah satu usaha untuk melindungi dan mempertahankan industri sawit negara dengan menyemai semangat cinta dan sayang kepada industri sawit," katanya.

Shafie berkata, terdapat beberapa lagi program Iain di Sabah dalam tiga hari ini seperti pelancaran ruang pameran Kempen Sayangi Sawitku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Tawau.  

"Selain itu turut diadakan majlis menandatangani Letter of Intent (Lol) antara Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) untuk aktiviti pemuliharaan dan konservasi alam sekitar di Sabah, khususnya untuk gajah pygmy. 

"MPOC juga akan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (PERHILITAN) dalam pemuliharaan dan rehabilitasi Orang Utan disamping itu Kerajaan Sabah akan terus bekerjasama dengan MPI dan penggiat  industri sawit untuk memelihara hidupan liar sebagai khazanah warisan alam negeri ini," katanya. 

Beliau berkata, semua usaha itu membuktikan komitmen Kerajaan Sabah dan Kementerian Industri Utama (MPI) untuk menjadikan industri sawit di Sabah sebagai mampan dan mesra alam. 

"Kerajaan juga mengalu-alukan penglibatan syarikat korporat untuk bekerjasama menjayakan setiap kempen yang diadakan oleh pihak MPI seperti yang dilakukan oleh Teck Guan Group hari ini," katanya.

Madius yang ditemui dalam sidang media berkata, kerajaan juga mahu mempromosi supaya sawit ini bukan  sahaja dari segi CPO tetapi kita mahu melihat dari segi produk-produk yang boleh dihasilkan melalui minyak sawit sebagai sektor hiliran di negeri ini.

"Kita akan tingkatkan pelaburan-pelaburan untuk mengeluarkan produk-produk berasaskan minyak sawit dan ini  juga merupakan kempen untuk menangkis setiap tohmahan pihak tertentu terhadap minyak sawit negara," katanya.

  • oleh
  • Advertisement