Anda di sini

Qari Kelantan, qariah Perak dinobat johan Tilawah Al Quran Peringkat Kebangsaan

Advertisement
 Barisan juara, Hakim (dari kiri), Qayyim, Azzua dan Aminah menunjukkan trofi yang mereka menangi kepada media.
JUARA: Barisan juara, Hakim (dari kiri), Qayyim, Azzua dan Aminah menunjukkan trofi yang mereka menangi kepada media.

KOTA KINABALU: Qari al-Quran Braille, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang cacat penglihatan muncul juara Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M.

Kemenangan Qayyim, 22, yang mewakili Kelantan dalam kategori qari berkenaan diumumkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, malam kelmarin.

Wakil Pahang, Mohamad Syaheed Sabri dan wakil Negeri Sembilan, Mohamad Husaini Mahmur pula, masing-masing terpaksa berpuas-hati berada di tempat kedua dan ketiga.

Johan kategori qariah disandang Puteri Kalimatul Azzua Hamid (Perak), tempat kedua oleh Nurul Nadiah Hashim (Johor) dan Nor Jannah Abd Rahman (Terengganu) ketiga.
 
Selaku juara, Qayyim dan Azzua memenangi piala dan hadiah RM15,000, manakala Shaheed dan Nadiah menerima RM10,000, sementara Husaini dan Jannah RM7,000.

Selain hadiah-hadiah berkenaan, keenam-enam pemenang terlibat juga menerima hadiah tambahan RM10,000 untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci, cenderamata dan sijil.

Penyampaian hadiah kepada semua pemenang tilawah terbabit disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang turut hadir pada majlis itu menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang hafazan.

Kategori hafazan juzuk 1 hingga 30 bahagian hafiz dimenangi Mohamad Hakim Mohd Hisam (Kedah), sementara hafizah digondol oleh Putri Aminah Mohd Hanif (Kelantan).

Hakim dan Aminah memenangi hadiah wang RM15,000, tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, piala dan akaun Al-Awfar bernilai RM20,000 tajaan Bank Islam.

Kategori Juzuk 1 hingga 20 bahagian hafiz dimenangi Sheikh Muhamad Aiman Hafiy Hishamuddin (Terengganu) dan hafizah, Putri Auni Khadijah Mohd Hanif (Kelantan).

Sekaligus, melayakkan Aiman dan Khadijah untuk membawa pulang hadiah kemenangan dalam bentuk wang RM7,000 dan tambahan RM7,000 untuk menunaikan umrah.

Kategori Juzuk 1 hingga 10 bahagian hafiz diungguli Muhamad Al-Jazari Muhammad Helmi (Kedah), sementara hafizah dimenangi oleh Nurul Izzah Mukhali (Sarawak) serta memperolehi hadiah wang RM5, 000 dan piala. 

 Tun Juhar menyampaikan hadiah trofi kepada Qayyim (tiga dari kanan) sambil turut disaksikan oleh Shafie, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Rawa serta Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Mokhtar.
ISTIMEWA: Tun Juhar menyampaikan hadiah trofi kepada Qayyim (tiga dari kanan) sambil turut disaksikan oleh Shafie, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Rawa serta Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Mokhtar.

Untuk rekod, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat Kebangsaan tahun ini melibatkan penyertaan 108 peserta tilawah dan hafazan mewakili 14 negeri.

Majlis pelancarannya dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 16 Februari lepas dan berlangsung selama enam hari di mercu tanda baharu Sabah, SICC.

Dalam perkembangan berkaitan, Kelantan muncul juara keseluruhan MTHQ Peringkat Kebangsaan kali ini, manakala Johor dipilih sebagai tuan rumah MTHQ tahun hadapan.
 

  • oleh
  • Advertisement