Anda di sini

Pelajar China di Malaysia disaring, negatif COVID-19

Advertisement
 Dr Wan Azizah (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Khas High Level Committee Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berhubung COVID-19 di Dewan Persidangan ICU Bangunan Perdana Putra, Putrajaya semalam. Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (kanan) dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman (kiri).  — Gambar Bernama
MESYUARAT: Dr Wan Azizah (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Khas High Level Committee Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berhubung COVID-19 di Dewan Persidangan ICU Bangunan Perdana Putra, Putrajaya semalam. Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (kanan) dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman (kiri). — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Semua pelajar warga China yang baru tiba di Malaysia telah disaring dan didapati negatif COVID-19, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata pelajar warga China perlu melalui saringan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kecuali mereka yang sudah berada di Malaysia lebih dari 14 hari.

“Setiap pelajar (China) mesti melalui saringan dan jika tidak bergejala diletakkan di bawah pengawasan di rumah. Kalau mereka bergejala (selepas itu) ada talian penting yang boleh mereka hubungi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Peringkat Tinggi berhubung kluster penyakit COVID-19, di sini, semalam.

Dr Wan Azizah berkata ketika ini terdapat 11,000 pelajar warga China di negara ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Kluster COVID-19 yang beroperasi di Bahagian Education Malaysia (BEM), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), kata beliau.

Menurut Dr Wan Azizah, semua 20 universiti awam dan 17 institusi pengajian tinggi swasta juga telah membangunkan SOP bagi menangani penularan COVID-19 termasuk Xiamen Universiti Malaysia yang mempunyai ramai pelajar dari China.

Bagi pelajar Malaysia di China pula, katanya, Education Malaysia Beijing (EMB) dengan kerjasama persatuan-persatuan pelajar Malaysia di negara itu telah membangunkan Papan pemuka Pengurusan Pelajar Seberang Laut COVID-19  bagi membantu memantau keberadaan pelajar Malaysia yang sedang menuntut di China.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata proses saringan terhadap rakyat Malaysia atau mana-mana individu yang melawat atau pulang dari China akan diperketatkan melalui saringan suhu badan dan ujian swab.

“Kalau tidak bergejala mereka akan dihantar balik untuk pengawasan di rumah atau kuarantin kendiri. Kalau positif akan terus dibawa ke hospital. Keputusan ujian swab tu boleh diperolehi dalam tempoh lima jam,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan menyekat kemasukan semua pelancong dari China selama sebulan, Dr Wan Azizah berkata perkara itu ada dibincangkan tetapi mesyuarat semalam memutuskan tiada keperluan untuk berbuat demikian lagipun saringan terhadap sesiapa sahaja dari China telah diperketatkan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kelmarin dilaporkan berkata mesyuarat kabinet pada Rabu ada membincangkan cadangan untuk melarang pelancong dari China buat sementara waktu. — Bernama

Advertisement