Anda di sini

La Liga: Kepulangan Hazard kelegaan buat Real Madrid

Advertisement
 Hazard beraksi pada perlawanan La Liga di antara Real Madrid dan Celta Vigo di Stadium Santiago Bernabeu di Madrid, pada 16 Februari lalu. — Gambar AFP
SELAMAT KEMBALI: Hazard beraksi pada perlawanan La Liga di antara Real Madrid dan Celta Vigo di Stadium Santiago Bernabeu di Madrid, pada 16 Februari lalu. — Gambar AFP

MADRID: Kepulangan Eden Hazard dijangka tepat pada waktunya menjelang minggu yang amat penting bagi Real Madrid, tetapi menyesuaikannya di dalam pasukan mungkin bukan tugas yang mudah bagi Zinedine Zidane.

Real bermain di Levante pada malam ini (Sabtu) pada permulaan tempoh lapan hari yang diteruskan dengan perlawanan di stadium sendiri menentang Manchester City dalam Liga Juara-Juara dan berakhir dengan perlawanan menentang Barcelona di stadium Santiago Bernabeu.

Hazard membuat penampilan pertamanya sejak 27 November lalu menentang Celta Vigo pada hujung minggu lepas dan membuat dengan meyakinkan, memenangi satu tendangan penalti pada separuh masa kedua dan memberi harapan bahawa dia dapat mengembalikan ketajaman dengan lebih cepat berbanding ketika dia pulih daripada kecederaan pada September lalu.

“Kita gembira untuk mendapatkannya semula bagi apa yang dia buat dalam tempoh 70 minit itu – kita tahu apa yang dia dapat berikan kepada kita,” kata Zidane.

“Dia bermain lebih lama daripada jangkaan kerana selepas tiga bulan tidak bermain, kami tidak mahu terlalu mendesak.

“Dia membawa banyak niat serangan, terutamanya untuk gol kedua, jadi kita gembira untuk mendapatkannya semula bersama kita.”

Namun kepulangan Hazard juga kebetulan berlaku ketika Madrid dibolosi gol sebanyak dua kali dalam perlawanan liga buat pertama kali sejak Oktober lalu, tetapi mereka ada melepaskan tiga gol dalam perlawanan Copa del Rey menentang Real Sociedad dua minggu lalu.

Ketika dia tidak bermain, harapan adalah Hazard akan memantapkan lagi barisan serangan untuk ditambahkan kepada pertahanan kental Madrid tetapi terdapat kebimbangan bahawa keketatan mereka dapat dikompromi oleh kemasukannya.

Madrid sudah melonjak ke tempat teratas La Liga selepas mencatatkan siri tanpa kalah dalam 15 perlawanan dengan melepaskan hanya tujuh gol sahaja, dan bukannya kerana kreativiti yang tinggi di depan.

Hazard merupakan pilihan automatik dan ia bukan kebetulan bahawa kepulangannya ke pasukan itu berlaku sejurus sebelum perlawanan pusingan pertama peringkat 16 terakhir menentang City dan kemudian perlawanan Clasico.

Namun Zidane perlu mencari keseimbangan.

Dia seakan-akan sudah memilih posisi terbaik Hazard di dalam barisan dua penyerang di belakang Karim Benzema pada Oktober lalu tetapi kejayaan Madrid tanpa pemain Belgium itu adalah dalam formasi 4-3-3 atau 4-5-1.

“Kami sudah bermain dengan tiga penyerang sepanjang hidup kami, ia tidak melemahkan kami,” kata Zidane pada Sabtu lepas.

Dalam sistem itu, Hazard mungkin akan diletakkan di sebelah kiri, di mana dia bermain dengan baik untuk Chelsea.

Zidane malah mencuba barisan tiga pemain pertahanan pada pramusim tetapi tanpa sebarang kejayaan.

Rancangan Zidane untuk City dan Barca khususnya menarik memandangkan dia dahulu menganggap Gareth Bale sebagai liabiliti yang terlalu membebankan dari segi pertahanan apabila menentang pasukan elit.

Barcelona akan bersiap sedia untuk perlawanan Clasico di stadium sendiri menentang Eibar pada malam ini sebelum mereka melakukan perjalanan ke Napoli dalam Liga Juara-Juara tiga hari kemudian.

Walaupun mengalami tempoh beberapa minggu yang bergolak di dalam dan luar padang, pasukan Quique Setien berjaya membataskan kelebihan Madrid di tempat teratas kepada hanya satu mata sahaja dan mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut dalam liga.

Eibar duduk di tempat ke-16, kemenangan terakhir mereka tiba dalam perlawanan menentang Atletico Madrid pada bulan lepas.

Diego Costa dimasukkan sebagai pemain gantian dalam kemenangan Atletico ke atas Liverpool pada Selasa lepas untuk membuat penampilan pertamanya sejak 10 November lalu.

Pemulihannya dari masalah belakang amat dialu-alukan oleh Atletico, yang kini dapat menyatukannya semula dengan Alvaro Morata, selepas pemain Sepanyol itu juga sudah cergas semula selepas mengalami kecederaan.

Costa sama sekali tidak mempamerkan prestasi yang cemerlang pada separuh pertama musim ini, apabila dia hanya berjaya menjaringkan dua gol sahaja dalam 16 perlawanan.

Namun masa tidak bermain boleh memberi semangat baharu kepada penyerang itu, yang amat dihargai Diego Simeone kerana kerja pertahanannya.

Atletico bermain di stadium sendiri menentang Villarreal esok (Ahad), apabila mereka cuba mengukuhkan tempat mereka dalam kelompok empat teratas, sebelum Getafe dan Sevilla menentang satu sama lain di Madrid esok. — AFP

Advertisement