Anda di sini

Kerajaan komited pastikan pembangunan industri sawit penuhi piawaian antarabangsa

Advertisement
 Teresa (kanan) dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Dua kiri) mempamerkan logo rasmi kempen 'Sayangi Sawitku'.
LOGO: Teresa (kanan) dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Dua kiri) mempamerkan logo rasmi kempen 'Sayangi Sawitku'.

TAWAU: Kerajaan komited untuk memastikan pembangunan industri sawit negara memenuhi piawaian pensijilan mampan yang ditetapkan oleh negara pengimport.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata, kerajaan telah melaksanakan skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) secara mandatori bermula 1 Januari 2020 untuk memastikan pengusaha sawit melaksanakan amalan pertanian baik dan bertanggungjawab.

"Pensijilan MSPO ini penting supaya pemeliharaan alam sekitar dan perlindungan hak sosial mengikut peraturan undang-undang negara serta piawaian kemampanan antarabangsa.

"Saya dimaklumkan sehingga semalam, seluas 4.42 juta hektar atau 74.8 peratus daripada 5.9 juta hektar tanaman sawit di Malaysia telah mendapat pensijilan MSPO. Manakala, kilang buah sawit yang telah mendapat pensijilan MSPO adalah sebanyak 390 buah kilang daripada 452 kilang buah sawit di Malaysia.

"Di Sabah pula, seluas 1.17 juta hektar tanaman sawit telah dipersijilkan MSPO termasuk 30,745 hektar yang  diusahakan oleh pekebun yang memiliki minima 100 ekar ke atas," katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberi ucapan pada pelancaran kempen 'Sayangi Sawitku' peringkat negeri Sabah di Teck Guan Cocoa Village, di sini.

Menurutnya, kerajaan telah menetapkan polisi untuk mengehadkan jumlah kawasan tanaman sawit kepada 6.5  juta hektar dan menghentikan penanaman kelapa sawit di kawasan tanah gambut serta memperketat peraturan mengenai penanaman kelapa sawit sedia ada di tanah gambut.

"Selain itu, kerajaan juga mengharamkan penukaran kawasan hutan simpan untuk penanaman kelapa sawit dan menyediakan peta perladangan kelapa sawit untuk akses awam.

"Usaha-usaha ini adalah jaminan kepada komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam membuktikan bahawa industri minyak sawit Malaysia adalah mampan dan mematuhi standard antarabangsa," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sumbangan dan kepentingan minyak sawit dalam perkembangan industri minyak sayuran global dicemburui oleh sesetengah pihak luar sehingga mewujudkan persepsi negatif untuk menjatuhkan imej minyak sawit negara.

"Tohmahan dan tuduhan tidak berasas seperti mengaitkan minyak sawit dengan penyahhutanan hutan tropika serta kepupusan orang utan dan gajah pygmy sehingga menyebabkan wujudnya tanggapan di kalangan  pengguna bahawa minyak sawit tidak baik untuk kesihatan dan merosakkan alam sekitar," katanya.

 Teresa menerima cenderahati daripada Pengerusi Eksekutif Teck Guan Group Datuk Hong Ngit Ming.
CENDERAHATI: Teresa menerima cenderahati daripada Pengerusi Eksekutif Teck Guan Group Datuk Hong Ngit Ming.

Mengulas mengenai program ini, beliau berkata bermula tahun lalu, Kementerian Industri Utama telah memulakan kempen 'Sayangi Sawitku' bertujuan menyemai rasa bangga terhadap industri sawit negara dalam kalangan rakyat Malaysia disamping memberi kesedaran serta mendidik rakyat Malaysia tentang  kebaikan dan khasiat minyak sawit.

"Hal ini secara tidak Iangsung, naratif positif berkenaan industri sawit negara dapat disebarkan oleh rakyat Malaysia yang boleh bertindak sebagai jurucakap sawit kepada masyarakat global.

"Pelbagai aktiviti dan program berkaitan kempen 'Sayangi Sawitku' di peringkat domestik dan antarabangsa telah dijalankan seperti publisiti video dan poster kempen di lapangan terbang serta publisiti melalui majalah di dalam kapal terbang oleh MAS, AirAsia dan Malindo," katanya.

Katanya, disamping itu juga, kementerian juga mengadakan program tanam semula pokok hutan dan konservasi Orang Utan serta gajah pygmy di Sabah.

"Kita sudah bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar bagi membina koridor untuk hidupan liar terutamanya gajah dengan menanam pokok dan rumput dijadikan makanan untuk habitat ini sebagai tanda kerajaan berusaha menjaga populasi hutan yang sedia ada.

"Hal ini kerana setiap kali gajah mati akan menjadi topik di media antarabangsa dan terus mengaitkan dengan  industri sawit negara. Oleh itu, kita tidak mahu industri ini dianggap menyebabkan kepupusan habitat hutan tertamanya gajah pygmy," katanya.

Teresa sangat berbangga kerana syarikat swasta seperti Teck Guan Group sanggup bekerjasama dengan kerajaan untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat dan memberi kesedaran serta mendidik rakyat menghargai sumbangan sawit kepada negara.

"Diharapkan masyarakat Malaysia jangan terpengaruh dengan aktiviti kempen anti minyak sawit yang telah dicanang oleh pihak luar melalui pelbagai cara termasuklah media sosial. Hakikatnya minyak sawit kita kaya dengan vitamin E dan dijadikan bahan asas untuk pembuatan produk lain," katanya.


 

  • oleh
  • Advertisement