Anda di sini

Kapal tanker gagal kemuka belian diesel ditahan

Advertisement
 Polis Marin memeriksa muatan kapal.
ANGGOTA: Polis Marin memeriksa muatan kapal.

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan menahan sebuah kapal tanker yang membawa muatan bahan api diesel kerana gagal menunjukkan rekod pembelian bahan berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisoner Mohamad Pajeri Ali berkata, pihaknya menahan kapal bernama Hoe Hup 99 milik Broadwin Enterprise Sdn Bhd dan menyita 450,000 liter diesel yang dianggar bernilai RM2,463,000.

"Kapal berkenaan dikendalikan kapten lelaki berumur 43 tahun dan enam krew berumur 26 hingga 40 tahun," katanya kepada media.

Pajeri menjelaskan pihaknya membuat penahanan itu 20 Februari kira-kira jam 5 petang semasa tugasan Botronda RH 19 dalam Op Gelora Khas (Op Inter Agensi Bersama KPDNHEP WP Labuan) di Pelabuhan Labuan.

Menurutnya turut dirampas ialah satu lesen kapal dan satu Lesen Perkapalan Dalam Negeri.

"Dakwaan akan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.


 

  • oleh
  • Advertisement