Anda di sini

JTS ungguli Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam

Advertisement
Pasukan JTS dan SMA menunjukkan piala dan  sijil yang dimenangi pada  MTE 2020.
Pasukan JTS dan SMA menunjukkan piala dan sijil yang dimenangi pada MTE 2020.

KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak mengungguli kategori Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (PSIA) pada Ekspo Teknologi Malaysia 2020 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada 20 hingga 22 Februari.

Tiga projek inovasi yang dipertandingkan JTS pada Ekspo Teknologi Malaysia (MTE), 'Power4Fields–Portable Power Supply', 'Mobile Land and Survey Information System' (LASIS) dan 'Sarawak Virtual 3D City' masing-masing telah dianugerahkan pencapaian tertinggi dalam PSIA, iaitu Pingat Emas.

Anugerah disampaikan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali pada Majlis Penyampaian Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam.

Kecemerlangan ketiga-tiga projek inovasi tersebut terserlah apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas yang diberi institusi berkaitan dengan inovasi dan kreativiti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 

Mobile LASIS menerima Anugerah Khas daripada Persatuan Kreativiti dan Inovasi Malaysia (MACRI). 

Projek 'Sarawak Virtual 3D City' pula diangkat sebagai penerima Anugerah Khas oleh International Alliance of Innovation and Invention Associations manakala projek 'Power4Fields' diiktiraf untuk menerima Anugerah Khas daripada International Federation of Inventor’s Association (IFIA).

Penyertaaan JTS pada MTE 2020 kali ini adalah dengan kerjasama strategik bersama Lembaga Multimedia Sarawak(SMA). 

Seramai sepuluh orang pegawai yang diketuai oleh Juruukur Kanan Ramzi Abdillah mewakili JTS untuk membentangkan ketiga-tiga projek inovasi berkenaan pada sesi penilaian di tapak pameran JTS di MTE 2020. 

Turut hadir pada sesi penilaian tersebut adalah Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak dan Ketua Unit Pembangunan dan Penyelidikan SMA Dr Khairul Hafiz Sharkawi serta pegawai dari Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri, Jabatan Ketua Menteri Sarawak.

MTE 2020 merupakan platform bagi para penggiat inovasi dan kreativiti untuk mempamerkan inovasi mereka kepada umum. 

Pameran kali ke-19 ini melibatkan 305 inovasi dari 150 penyertaan terdiri daripada organisasi perkhidmatan awam, syarikat pengeluaran dan firma teknologi, institusi pengajian tinggi, penyelidik dan peringkat sekolah. 

MTE 2020 juga telah melibatkan penyertaan dari negara Croatia, Poland, United Kingdom, Iran, Taiwan dan Indonesia.

Seramai lebih kurang 3,500 pengunjung direkodkan menghadiri MTE 2020 pada hari pertama dan jumlah ini telah meningkat pada dua hari seterusnya.

Bagi kategori PSIA, sebanyak 30 projek telah dipamerkan untuk dipertandingkan melibatkan 15 organisasi perkhidmatan awam. 

Selain projek dari JTS, lima lagi projek inovasi dari organisasi lain turut menerima pingat emas, 10 organisasi menerima Pingat Perak dan 12 organisasi menerima Pingat Gangsa.

JTS adalah satu-satunya agensi pentadbiran tanah yang menyertai MTE 2020 dengan komitmen untuk sentiasa menambahbaik perkhidmatan JTS kepada rakyat secara berterusan selain dijadikan pentas untuk perkongsian dan mewujudkan jalinan bersama dengan penggiat industri
inovasi dan kreativiti bukan sahaja dari peringkat tempatan, malahan di peringkat antarabangsa.

Penyertaan ini juga bertujuan untuk memperkenalkan inovasi yang digunapakai oleh JTS dalam perkhidmatan awam selain mempromosikan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak sebagai perkhidmatan awam bertaraf dunia.

Advertisement