Anda di sini

Jangan perjudikan keamanan negara dengan alasan kebebasan bersuara

Advertisement
 Tun Juhar memimpin tangan isterinya, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan turut diikuti oleh pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang lain.
PIMPIN: Tun Juhar memimpin tangan isterinya, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan turut diikuti oleh pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang lain.

KOTA KINABALU: Nilai keamanan dan keharmonian negara tidak boleh diperjudikan oleh sebarang pihak dengan alasan kebebasan bersuara mengikut perlembagaan negara.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, semua bentuk provokasi yang menyalakan api sentimen perkauman, agama dan adu domba hendaklah dihentikan.

“Petualang yang cuba mengganggu-gugat keharmonian negara perlu diheret ke muka pengadilan sebagai pengajaran tidak ada kompromi terhadap pihak terlibat,” katanya.

Tun Juhar berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, malam kelmarin.

Mengulas lanjut, beliau berkata keamanan dan keharmonian amat penting demi kelangsungan negara, justeru masyarakat perlu terus menyuburkan prinsip keharmonian.

“Belajar hidup bersama dengan memahami serta menerima kepelbagaian dan perbezaan dalam pelbagai aspek, misalnya melalui penganjuran dialog dan berbaik sangka.

“Hubungan kaum ada kalanya diuji dengan pelbagai isu, hakikat ini menuntut semua pihak supaya bijak bertindak mencari penyelesaian bukannya merumitkan keadaan.

“Saya menyeru masyarakat supaya kita dapat mencari solusi atau pendekatan yang relevan ketika ada pihak yang semakin ghairan memainkan pelbagai isu kaum dan agama.

“Kerencaman isu sensitif yang dimainkan mempunyai niat jahat untuk meruntuhkan sebuah negara bangsa yang dibina hasil permuafakatan kaum di negara ini,” katanya.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Rawa serta Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Mokhtar.


 

  • oleh
  • Advertisement