Anda di sini

COVID-19 : Iran sahkan tiga kes baharu susulan dua kematian

Advertisement
 Penumpang memakai topeng muka dilihat di lapangan terbang Basra di selatan Iraq baru-baru ini. Pihak berkuasa Iraq kelmarin melarang perjalanan keluar dan masuk dari Iran selepas dua lelaki disahkan mati akibat COVID-19. — Gambar AFP
SEKATAN: Penumpang memakai topeng muka dilihat di lapangan terbang Basra di selatan Iraq baru-baru ini. Pihak berkuasa Iraq kelmarin melarang perjalanan keluar dan masuk dari Iran selepas dua lelaki disahkan mati akibat COVID-19. — Gambar AFP

TEHRAN: Iran mengesah-kan tiga kes baharu Novel Koronavirus (COVID-19) selepas kematian dua lelaki tua, kementerian kesihatan memberitahu AFP kelmarin, sementara Iraq bertindak melarang perjalanan keluar dan masuk dari negara jirannya itu.

Kedua-dua orang yang meninggal dunia adalah warga emas Iran dan penduduk bandar Qom. Mereka adalah kematian pertama yang disahkan akibat virus COVID-19 di Timur Tengah.

Jurucakap kementerian kesihatan Kianush Jahanpour berkata dua daripada kes baharu juga di Qom dan satu lagi di Arak, selatan bandar suci tersebut.

“Secara keseluruhannya terdapat lima kes... di mana dua lagi boleh menyebabkan kematian,” jelas beliau.

Qom merupakan sebuah pusat bagi pengajian Islam dan pelancongan, menarik cendekiawan dari Iran dan negara lain. Bagaimanapun, seorang pegawai kerajaan berkata lelaki yang meninggal dunia tidak pernah meninggalkan Iran.

Selepas pengumuman kematian tersebut, Iraq  kelmarin menyekat perjalanan keluar dan masuk dari republik Islam itu, dengan pihak kementerian kesihatan Iraq mengumumkan rakyat di Iran dilarang dari memasuki negaranya “sehingga makluman seterusnya”.

“Rakyat Iran dilarang dari memasuki (Iraq),” seorang pegawai kanan memberitahu AFP, sambil menambah bahawa penyeberangan sempadan dengan Iran sudah ditutup, dengan hanya rakyat Iraq yang pulang dibenarkan untuk melaluinya.

Rakyat Iraq tersebut akan diperiksa dan sekiranya perlu, ditempatkan dalam kuarantin selama 14 hari, kata kementerian kesihatan.

Rakyat Iraq turut tidak dibenarkan untuk pergi ke Iran, tambah pihak kementerian.

Penutupan sempadan me-nyusuli tindak balas yang hebat terhadap pengumuman pada Rabu lepas mengenai pengecualian visa untuk warga Iran yang ingin pergi ke Iraq.

Warga Iraq tampil di media sosial dengan menggunakan hashtag “tutup sempadan” dan pegawai tempatan menggesa bagi pengharaman ke atas kemasukan barangan dan orang melalui pelbagai penyeberangan sempadan dengan republik Islam itu.

Lapangan terbang di Iraq sudah mula melakukan imbasan terhadap pelawat untuk virus tersebut dan syarikat penerbangan negara Iraqi Airways menangguhkan pe-nerbangan ke Iran.

Setiap tahun, berjuta-juta rakyat Iran melawat kawasan suci Syiah di Iraq, memberikan hasil pendapatan besar kepada negara Iraq.

Pada awal kelmarin, juru-cakap kerajaan Iran Ali Rabiei berkata Tehran akan menubuhkan sebuah badan bertaraf tinggi terdiri pegawai kerajaan dan pertahanan bagi memerangi penyebaran virus, lapor agensi berita negara IRNA.

“Walau bagaimanapun, kami memerlukan tindakan global (melalui pihak berkuasa) dan kerjasama daripada semua penduduk,” kata Rabiei di Twitter.

Di Kuwait, syarikat pe-nerbangan negara Kuwait Airways mengumumkan kelmarin ia akan menangguhkan semua penerbangan ke Iran, sementara pelabuhannya juga akan ditutup kepada penumpang yang keluar dan masuk negara.

Rakyat Kuwait dinasihatkan agar tidak pergi ke Qom, serta diberi amaran bahawa sesiapa yang datang dari bandar itu akan dikuarantin.

Kematian di Iran dilaporkan oleh media tempatan pada Rabu lepas, hanya beberapa jam selepas Tehran mengesahkan terdapat dua kes di negara itu.

Di media sosial, beberapa orang menuduh kerajaan menyembunyikan masalah itu untuk menghalang keada-an panik sebelum pilihan raya parlimen semalam.

Keyakinan umum terhadap pengumuman kerajaan meleset sejak satu nahas kapal terbang penumpang Ukraine pada 8 Januari yang mengorbankan 176 orang.

Kerajaan pada mulanya menafikan bertanggungjawab, namun kemudian mengakui pesawat tersebut ditembak disebabkan oleh “kesilapan manusia” dan mempersalahkan seorang pengendali peluru berpandu yang resah.

Kementerian kebudayaan meminta media tempatan untuk hanya mengeluarkan maklumat rasmi dari pegawai kerajaan dan menolak apa yang ia dakwa sebagai satu penyebaran cepat bagi berita palsu di media sosial berkaitan dengan virus itu.

Sejak Disember, COVID-19 mengorbankan lebih 2,200 orang di  China, pusat utama bagi wabak.

Di kawasan lain di dunia, virus itu membunuh 11 orang dan tersebar di sekitar kira-kira 25 negara. — AFP

Advertisement