Anda di sini

3,000 ahli keluar PKR

Advertisement
 Hasrol (kiri) bersama beberapa ahli PKR Tanjung Manis melipat bendera PKR sebagai simbolik keluar parti semalam.
KELUAR PARTI: Hasrol (kiri) bersama beberapa ahli PKR Tanjung Manis melipat bendera PKR sebagai simbolik keluar parti semalam.

SARIKEI: Seramai 3,000 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tanjung Manis mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa semalam.

Bekas Setiausaha Cabang Keadilan Tanjung Manis Hasrol Ali berkata, keputusan itu diambil atas dasar tidak percaya dengan kepimpinan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan tertinggi PKR.

“Pada masa sama, kita membantah sepenuhnya Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri Kelapan.

“Keputusan keluar parti dibuat kerana kita berasa terkilan dan kesal kerana Keadilan Pusat seolah-olah memandang remeh perkaitan dengan pembatalan 12 ahli jawatankuasa termasuk Ketua Cabang dibatalkan pencalonan semasa Pemilihan Cabang Keadilan Tanjung Manis pada 3 November 2019.

“Pada 12 Januari lalu, seramai 35 ahli jawatankuasa cabang, Angkatan Muda Keadilan dan Wanita meletakkan jawatan atas sebab tidak berpuas hati dengan keputusan dibuat oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution selaku Setiausaha Agung PKR.

“Ketua Cabang Tanjung Manis dipilih oleh Setiausaha Agung kini seolah-olah tidak berfungsi seperti sepatutnya membuat ahli-ahli PKR hilang arah dan hala tuju,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Hasrol sebagai  jurucakap kumpulan terbabit berkata, ahli-ahlinya masih menyokong kepimpinan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin dan Pengerusi Majlis Pemimpin Negeri Sarawak Baru Bian.

“Peringkat akar umbi dan rakyat Sarawak menyeru memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kekal menerajui negara sebagai Perdana Menteri sehingga PRU15,” jelasnya.

Mengulas hala tuju ahli-ahli parti itu setelah keluar, Hasrol berkata ia belum dapat diputuskan.

Sebagai simbolik keluar parti ahli-ahli melipat bendera PKR.

  • oleh
  • Advertisement