Anda di sini

15 pemerintah Sarawak sebelum Rajah Brooke

Advertisement
 Early Times to 1840’ untuk lensa pemberita
PENEMUAN MENARIK: Suriani (depan) dan suaminya Tom (belakang) menunjukkan buku ‘Sarawak River Valley: Early Times to 1840’ untuk lensa pemberita

KUCHING: Buku berjudul ‘Sarawak River Valley: Early Times to 1840’ nukilan pasangan suami isteri yang juga pengkaji, Suriani Sahari dan Tom Maclaughin mendedahkan penemuan baharu 15 pemerintah terdahulu sebelum Rajah Brooke (1841-1868) memerintah Sarawak.

Buku tersebut telah dicetak sebanyak 1,000 salinan dalam bahasa Malaysia dan 100 lagi dalam bahasa Inggeris.

Buka setebal 200 muka surat itu dijual pada harga antara RM60 hingga RM70 dan boleh didapati di FK Creative di Matang berdekatan Matang Mall di sini.

“Pemerintah terdahulu Sarawak bermula dengan Hyang Gi, Indra Siak, Indra Galam, Indra Sarik, Indra Ragga, Indra Uteh, Indra Simma, Indra Sagat, Indra Junjunan, Saganda Manikam, Indra Lewang, Indra Daha, Raja Pertama Tengah atau Pangiran Tuan Indrana Rajian, Raja Kedua Raja Tengah atau Ismail Hasanuddin dan Raja Ketiga Raja Tengah atau Sultan Abdul Jalil Muhammad Al Hafiz Zussalam.

“Penemuan ini dilakukan sejak 2010 sebaik sahaja saya habis berpantang anak tunggal kami.

“Maklumat diperolehi menerusi sumber ‘Tungkat Kerabat’ yang tidak mahu dirinya didedahkan,” kata Suriani kepada pemberita ketika ditemui di Pustaka Negeri di sini, semalam.

Beliau juga berkata, kajian berkenaan terjadi ekoran daripada pencarian Ali Wallace (1840-1907), seorang saintis berbangsa Melayu oleh bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Suriani tidak menafikan dengan adanya buku tersebut landskap sejarah dan perdebatan mungkin akan tercetus di Sarawak dan beliau mengalukan lebih ramai ahli fikir dan pengkaji menyumbang lebih banyak sumber kepada penemuan sejarah negeri ini.

“Kedatangan dan penempatan pertama masyarakat Melayu bermula dari Kampung Lidah Tanah selain Darul Hana.

“Ia merupakan tempat bermulanya penyebaran agama dan sewaktu melakukan kajian ini, kami banyak menemui perkara mistik yang sukar diluahkan dengan kata-kata,” jelas Suriani.

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan hasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk memberi senaskhah buku tersebut kepadanya.

Buku tentang Ali Wallace juga katanya, telah diterbitkan sebelum ini dengan pihak FMJ muzium namun akan diterbitkan semula selepas memperolehi sumber terakhir daripada salah seorang rakan seperjuangannya.

Sementara itu Presiden Parti Reformasi Negeri Sarawak Lina Soo yang menghadiri ceramah tentang buku tersebut berkata ramai yang perlu memiliki buku tersebut kerana isi kandungannya yang begitu menarik.

“Ramai yang tidak mengetahui siapa pemerintah sebelum kerajaan Brooke bermula tetapi sekarang walaupun ia menerusi lisan namun terdapat beberapa penemuan bersejarah yang masih terdapat di sini seperti kawasan kuburan,” tambahnya.

Advertisement