Anda di sini

Usaha perkasa usahawan perlu kerjasama semua pihak

Advertisement
 Fridaus (tengah) menyampaikan cenderamata khas kepada Mussen, sambil disaksikan Zailani.
UNTUKMU: Fridaus (tengah) menyampaikan cenderamata khas kepada Mussen, sambil disaksikan Zailani.

MIRI: Usaha membangun dan memperkasakan usahawan di Sarawak memerlukan usahasama dari semua pihak dan tidak boleh ada yang mengamal sikap bekerja bersendirian atau ‘working in silo’.

Sehubungan itu, kerajaan negeri bersedia untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama baik dengan Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) di peringkat pusat serta agensinya Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) untuk membantu membangunkan usahawan di Sarawak, demikian menurut Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Malcom Mussen Lamoh.

Katanya, kerajaan negeri juga amat mengalu-alukan program dan latihan-latihan keusahawanan yang ditawarkan oleh INSKEN serta agensi-agensi keusahawanan yang terdapat di peringkat pusat dan negeri seperti yang dianjurkannya menerusi Program INSKEN Business Outreach.

“Program seperti INSKEN Business Outreach ini merupakan satu inisiatif untuk mempromosi dan menghebahkan latihan keusahawanan yang ditawarkan INSKEN dan agensi-agensi lain sama ada di peringkat negeri mahupun pusat, yang boleh disertai usahawan di negeri Sarawak,” katanya semasa berucap merasmikan Program ISKEN Business Outreach (IBO) 2020, Edisi Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Mengulas lanjut Mussen memberitahu, di bawah Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030, seperti yang telah digariskan, semua agensi dan pihak berkepentingan perlu mewujudkan kerjasama yang kolektif untuk melonjakkan potensi dan peluang para usahawan kita ke peringkat yang tertinggi.

“Ia sejajar dengan matlamat menjadikan Malaysia, Negara Keusahawanan Unggul menjelang 2030 dengan mewujudkan ekosistem keusahawanan yang lebih bersepadu dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat dan mencapai kemakmuran bersama,” katanya.

Oleh yang demikian menurut Mussen, tema program kali ini iaitu ‘Strategi Lonjakkan Jualan Melalui Urus Data Pelanggan’ telah dipilih untuk memberi pendedahan kepada usahawan tentang kepentingan menguruskan data pelanggan masing-masing.

“Pengurusan data pelanggan yang teratur dan sistematik sangat penting untuk menyiapkan para usahawan dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri Keempat (IR4.0),” tambahnya.

Mengenai Program IBO 2020, bagi edisi negeri Sarawak, Mussen memberitahu program yang berlangsung selama sehari itu, telah menyediakan pelbagai pengisian yang holistik untuk usahawan, antaranya ialah ‘penetapan minda sebagai usahawan’, yang bertujuan menggalakkan para usahawan mempunyai jati diri yang tinggi dan sentiasa bersedia untuk adaptasi dengan sebarang perubahan semasa dalam memasarkan produk mereka.

“Keduanya ialah memperkenalkan Ujian Psikometri (MyNEPT) yang julung kalinya, bagi membantu bakal usahawan mengenali kecenderungan diri sendiri dan keperluan dari aspek kajian usahawan yang berjaya.

“Ketiganya ialah sesi-sesi perkongsian daripada Industri Coach INSKEN, yang saya kira akan memberi peluang anda untuk belajar sesuatu daripada mereka, yang sudah berjaya,” katanya.

Selain itu, pada program berkenaan para peserta turut berpeluang untuk bertemu barisan Biskaunselor INSKEN untuk mendapatkan khidmat nasihat secara percuma.

“Paling penting dalam program ini ialah, anda berpeluang untuk belajar secara teknikal daripada mereka yang pakar dalam industri, bagaimana untuk mengurus data pelanggan secara sistematik, bagi membolehkan anda menjana pendapatan yang maksima.

“Rugi kalau kita sudah ada pelanggan tetapi kita tidak tahu siapa mereka dan maklumat mengenai mereka,” katanya lagi.

Turut hadir ialah Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Ekosistem Keusahawanan MEDAC Datuk Zailani Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) INSKEN Muhd Fridaus Azharuddin.

Sementara itu, MEDAC melalui agensinya INSKEN telah menganjurkan siri jelajah yang ketiga Program IBO 2020 di sini, yang membawa topik berkaitan Revolusi Industri 4.0 (lR 4.0) bertemakan ‘Tingkatkan Jualan melalui Urus Data Pelanggan’.

Program ini mendedahkan usahawan tentang penggunaan teknologi yang boleh membentuk cara mereka berniaga melalui teknik dan cara yang betul untuk mencari, mengurus dan melonjakkan jualan menggunakan data pelanggan.

Antara program yang turut diadakan adalah Ujian Psikometrik (MyNept), ‘Mind Setting,’ ‘Ask the Expert,’ ‘Jom Try Kira Cukai’ dan sebagai nilai tambah, sesi ‘Biz Clinic’ juga diadakan bagi memberi peluang kepada usahawan mendapatkan khidmat rundingan bisnes dari Biskaunselor INSKEN dan juga sesi temuduga bagi pencarian Biskaunselor baharu.

Siri ketiga di Miri ini turut dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan telah berjaya mengumpulkan 300 usahawan daripada pelbagai industri.

  • oleh
  • Advertisement