Anda di sini

Tidak sumbang RM6 juta jika Zahid bukan TPM: Saksi

Advertisement
 Zahid (empat kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam berhubung 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. — Gambar Bernama
BERI KETERANGAN: Zahid (empat kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam berhubung 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad (DGB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, bahawa sekiranya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, beliau tidak akan mencadangkan pemberian sumbangan politik RM6 juta, kepada Barisan Nasional (BN).

Chew Ben Ben, 63, berkata beliau mencadangkan kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif DGB, Datuk Abu Hanifah Noordin bahawa, pemberian sumbangan tersebut melalui Ahmad Zahid adalah untuk jangka masa panjang.

Saksi pendakwaan ke-34 itu berkata beliau telah berjumpa dengan Ahmad Zahid di kediaman rasminya di Seri Satria Putrajaya pada April 2017, dan pada masa itu Ahmad Zahid menceritakan berkenaan perjalanan kerjayanya sebelum menceburi bidang politik.

“Ahmad Zahid ada beritahu saya bahawa beliau sangat menghormati syarikat DGB, kerana prestasinya yang baik.

“Beliau (Ahmad Zahid) juga ada beritahu kepada saya bahawa pilihan raya sudah dekat dan juga keadaan semasa politik dalam negara,” katanya ketika membacakan penyataan saksi pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun.

Beliau berkata demikian pada hari ke-17 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berhadapan 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit dan rasuah berhubung pemberian kontrak pembekalan cip pasport kepada beberapa syarikat.

Chew yang juga ahli lembaga pengarah DGB berkata pada pertemuan itu juga Ahmad Zahid memberitahu bahawa beliau (Ahmad Zahid) akan berjumpa Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu perdana menteri, untuk berbincang berkenaan pilihan raya akan datang.

“Pada masa itu saya dapat agak bahawa BN memerlukan wang politik untuk tujuan urusan pilihan raya. Saya kemudian ada bertanya kepada Ahmad Zahid sama ada Datuk Hanifah dan saya boleh membuat sumbangan politik kepada BN, dan berapa jumlah wang yang diperlukan.

“Ahmad Zahid ada beritahu saya terpulang kepada saya berapa yang hendak diberikan kepada BN,” katanya dan menambah Ahmad Zahid kemudian mengarahkannya untuk menyediakan cek atas nama Lewis & Co, iaitu pemegang amanah Yayasan Akalbudi, milik bekas timbalan perdana menteri itu.

Chew berkata beliau telah mencadangkan kepada Hanifah yang juga pemilik syarikat Sarana Kencana Sdn Bhd, untuk mengeluarkan wang peribadi Hanifah berjumlah RM6 juta melalui cek yang dikosongkan bahagian penama, untuk diserahkan kepada Ahmad Zahid.

“Saya mencadangkan supaya Hanifah menggunakan wang peribadi beliau, kerana syarikat DGB tidak boleh mengeluarkan wang sumbangan daripada akaun syarikat, kerana perkara tersebut perlu mendapat kelulusan ahli lembaga pengarah DGB,” katanya.

Tambah Chew, syarikat DGB mempunyai enam anak syarikat iaitu Datasonic Technologies Sdn Bhd, Datasonic Corporation Sdn Bhd, Datasonic Smart Solutions Sdn Bhd, Datasonic Inovation Sdn Bhd, Datasonic Manufacturing Sdn Bhd dan Datasonic Digital Sdn Bhd.

Sementara itu, Chew bersetuju dengan peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal mewakili Ahmad Zahid bahawa sumbangan politik itu adalah untuk tanggungjawab sosial korporat dan ‘charity’.

“Saya tahu,” jawab Chew ketika ditanya Ahmad Zaidi bahawa wang RM6 juta yang diberikan melalui Lewis & Co, untuk disalurkan kepada Yayasan Akalbudi bagi menjalankan kerja-kerja amal.

Semasa pemeriksaan semula, Gan meminta saksi menjelaskan apa yang dimaksudkan bahawa sumbangan politik tersebut adalah ‘charity’, Chew menjawab: “sumbangan politik itu adalah termasuk charity”.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

— Bernama

Advertisement