Anda di sini

Ribuan tuntut keadilan untuk remaja mati dibelasah pemain ragbi Argentina

Advertisement
 Silvino Baez (kiri) dan Graciela Sosa                     berhimpun bersama ribuan yang lain di luar bangunan Kongres di Buenos Aires, Argentina kelmarin ketika menuntut keadilan untuk anak lelaki mereka yang mati selepas dibelasah oleh sekumpulan pemain ragbi. — Gambar AFP
TUNTUT KEADILAN: Silvino Baez (kiri) dan Graciela Sosa berhimpun bersama ribuan yang lain di luar bangunan Kongres di Buenos Aires, Argentina kelmarin ketika menuntut keadilan untuk anak lelaki mereka yang mati selepas dibelasah oleh sekumpulan pemain ragbi. — Gambar AFP

BUENOS AIRES: Ribuan orang berhimpun di luar Kongres Argentina kelmarin untuk menuntut keadilan bagi seorang remaja berusia 18 tahun sebulan selepas dia mati akibat dibelasah dengan ganas oleh sekumpulan pemain ragbi yang muda.

Kes Fernando Baez telah mengejutkan Argentina dan mendominasi berita utama media selepas video insiden yang berlaku pada 18 Januari itu tersebar dengan meluas dalam media sosial.

Ribuan orang sama-sama bernyanyi di perhimpunan Buenos Aires itu, yang dianjurkan oleh keluarga dan rakan-rakan Baez.

Satu lagi perarakan diada-kan di Villa Gesell – pusat peranginan di pantai Atlantik 370 kilometer ke selatan ibu negara di mana insiden itu berlaku – untuk menggesa diadakan perbicaraan secepat mungkin.

Lapan tertuduh, berusia antara 18 hingga 20 tahun, berada dalam tahanan praperbicaraan selepas seorang hakim berkata kumpulan itu telah bertindak “untuk menyempurnakan satu rancangan yang dipersetujui sebelum itu untuk membunuh Baez”.

“Keadilan untuk anak saya adalah untuk melihat mereka yang bersalah dipenjara seumur hidup,” kata ibu mangsa, Graciela Sosa, dalam satu ucapan emosional di luar bangunan Kongres.

“Apa yang mereka buat kepada anak saya tidak dapat dimaafkan. Dia dibunuh apabila dia tidak dapat mempertahankan diri. Dia seorang budak baik yang menyayangi kehidupan,” katanya.

Penunjuk perasaan membawa sepanduk dengan gambar Baez selain poster dengan kata-kata “Keadilan untuk Fernando, marilah hidup tanpa keganasan!”

Hakim menuduh kumpulan terbabit bertindak dengan “niat jahat” dalam serangan yang berlaku di luar sebuah kelab malam.

Baez dijatuhkan ke tanah lalu dibelasah dan ditendang berulang kali. Dia mati kera-na kecederaan kepala akibat dibelasah ketika dia tertiarap di atas laluan jalan kaki.

Jika didapati bersalah, tertuduh – dari kelab Arsenal de Zarate, ke utara Buenos Aires – boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Seperti Baez, mereka sedang bercuti pada waktu serangan, yang berlaku pada kemuncak cuti musim panas di Argentina.

Dua daripada 10 pemuda yang ditangkap selepas insiden itu sudah dilepaskan dari penjara tetapi masih di bawah siasatan. — AFP

Advertisement