Anda di sini

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak lewat setahun dari jadual asal - Baru

Advertisement
Baru Bian pada sidang media di ibu pejabat JKR Sarawak hari ini. - Gambar Chimon Upon
Baru pada sidang media di ibu pejabat JKR Sarawak hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak dijadualkan siap pada Jun 2022, iaitu lewat setahun daripada jadual asal.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata tarikh baharu projek lebuh raya itu siap ditentukan selepas mendapat maklum balas daripada 11 Kontraktor Pakej Kerja (WPC) yang akan meneruskan pelaksanaan projek berkenaan menerusi kaedah konvensional.

Beliau berkata semasa awal pelaksanaan projek berkenaan pada Oktober 2015, iaitu menerusi kontrak rakan pelaksana projek (PDP), ia dijadual siap pada Jun 2021.

Bagaimanapun ujarnya, dengan penamatan kontrak syarikat Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) sebagai PDP, Kementerian Kerja Raya (KKR) mensasarkan ia siap Jun 2022.

Penamatan kontrak LBU sebagai PDP projek LPB Sarawak berkuat kuasa hari ini (20 Januari 2020) dan ia akan dilaksanakan melalui kaedah konvensional. KKR mengambil alih sepenuh pelaksanaan projek berkenaan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sarawak.

"Setakat Januari 2020, perkembangan projek siap mengikut jadual kontrak PDP ialah 44.21 peratus berbanding 47.82 peratus sepatutnya," katanya pada sidang media di ibu pejabat JKR Sarawak di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan semakan JKR Sarawak dan Jurutera Perunding Bebas yang mengguna pakai program kerja PDP, pada Januari 2020, kemajuan sebenar projek ialah 45.81 peratus berbanding 61.23 peratus dengan tempoh siap baharu Disember 2021.

"Tetapi dalam sesi keterlibatan antara JKR Sarawak dan (11) WPC baru-baru ini, telah diberitahu oleh mereka projek dijangka akan siap antara Mei hingga Ogos 2022.

"Erti kata lain kalau kita bandingkan itu dengan tempoh masa diberikan semasa kontrak PDP ialah sepatutnya siap 30 Jun 2021, maksudnya ada kelewatan di sana," katanya.

Walaupun dalam keadaan itu ujarnya, KKR sebagai pemilik projek ini sekarang bersama JKR Sarawak akan melakukan yang terbaik untuk menyiapkannya pada Jun 2022.

Beliau berkata LPB di Sarawak merangkumi 11 pakej sepanjang 786.41 kilometer (km), bermula pada Oktober 2015. Satu kontrak pakej kerja iaitu WPC01 (jajaran Telok Melano ke Semantan sepanjang 33 km) siap mengikut jadual pada 6 Januari, 2019.

  • oleh
  • Advertisement