Anda di sini

Penganggur dipenjara kerana merompak

Advertisement
 

KUCHING: Akibat merompak wang tunai kira-kira RM2,000, kad tambah nilai dan beberapa kotak rokok dengan bersenjatakan sebilah parang, seorang penganggur lelaki dipenjara tujuh tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Zaki Amirul Ridzuan Sazali selepas mengaku salah di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

Mengikut pertuduhan, pemuda berusia 21 tahun itu bersama rakannya, Muhammad Ifwat Mejeri didakwa melakukan rompakan terhadap pekerja kedai serbaneka 24 jam di sebuah Pusat Komersil Swan Batu 4, Jalan Matang. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka pada 11 September tahun lalu, jam 4.20 pagi. 

Bagaimanapun, Ifwat sebelum ini mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan terbabit. 

Justeru, Dayang menetapkan 26 Februari depan untuk memberikan keputusan di akhir kes pendakwaan.

Sementara itu, Ifwat dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj manakala Zaki tidak diwakili peguam dan Ifwat diwakili peguam, Christopher Bada. 

Pada 12 Disember tahun lalu, Zaki juga dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, akibat melakukan kesalahan merompak. 

Oleh itu, mahkamah turut mengarahkan agar hukuman penjara bagi dua kesalahan ini dijalankan secara berasingan.

Zaki juga dikenakan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret pada 11 Disember tahun lalu kerana melakukan kesalahan cubaan curi motosikal.

Justeru, jumlah keseluruhan hukuman penjara yang dijatuhkan terhadap Zaki adalah 19 tahun. 

  • oleh
  • Advertisement