Anda di sini

Lima penjawat awam didakwa atas tuduhan rasuah

Advertisement
 

TAWAU: Lima penjawat awam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Khas Rasuah, di sini.  

Tiga tertuduh masing-masing Abdul Halil Mohd Zin, 60, berpangkat Sarjan Mejar, Roney Saimey Sakah, 39, berpangkat Inspektor dan Zakariah Kirinu, 38, juga berpangkat Inspektor.

RONEY
RONEY

Manakala dua lagi tertuduh, Aisah Batik, 40, Penolong Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (kini KPDNHEP) Tawau dan Ajid Abdinah, 43, Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia Lahad Datu.

Kesemua tertuduh didakwa berasingan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat dan mengaku tidak bersalah.

Abdul Halil didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,800 antara November 2015 hingga Mac 2015.

AJID
AJID

Pertuduhan pertama dan kedua, Abdul Halil yang bertugas di Pejabat Kawalan Perjalanan Pelabuhan Barter Trade Tawau secara rasuah menerima satu suapan bernilai RM800 dan RM1,000 daripada Helmi Abdul Hamid manakala tuduhan ketiga menerima suapan bernilai RM1,000 daripada Muhammad Azmin Abdul Aziz.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat untuk tidak melakukan suatu perbuatan yang berhubung dengan hal ehwal prinsipal iaitu melepaskan kumpit/kapal kayu yang membawa minyak petrol untuk dieksport ke Filipina.

Roney, pegawai polis berpangkat Inspektor di Cawangan Trafik Lahad Datu didakwa menerima rasuah sebanyak RM3,500 daripada Rostam Arsad, 34, sebagai  dorongan untuk menyelesaikan kes kemalangan yang disiasat dibawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, menyebabkan tiada pertuduhan dilakukan di mahkamah sehingga kini.

AISAH
AISAH

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 7 April 2017, jam 11 pagi di  Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Zakariah yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Tawau didakwa menerima rasuah sebanyak RM3,000 daripada Mohd Akhbar Azis, 27, untuk membuka jaminan bagi kes senjata api dan menggugurkan kes pedang samurai terhadap bapa Mohd  Akhbar, pada 19 April 2016, jam 3 petang di tempat letak kereta berhadapan Mahkamah Tawau.

Sementara itu, Aisah didakwa menerima rasuah sebanyak RM500 daripada Hardeyansah Bahtiar, 31, sebagai dorongan untuk melepaskan sebuah bot kayu dan enjin yang dirampas KPDNKK kerana kesalahan  penyeludupan gas LPG, pada 15 Ogos 2017, jam 4 petang di jeti Pangkalan Marin Wilayah 4 Tawau.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Sesyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama, memperuntukkan
hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah  nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Manakala Ajid didakwa menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu Borang Daftar Kelahiran (Borang A) atas nama Adrianna Alanni Ajid, pada 20 April 2015 di jabatan berkenaan.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya  sekali.

Mahkamah membenarkan empat daripada tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan deposit berbeza iaitu Abdul Halil (RM7,000), Asiah (RM4,000), Zakariah (5,000) dan Roney (RM6,000) manakala Ajid dibenar diikat jamin RM7,000 dengan deposit RM3,000 selain seorang penjamin tempatan.

Kelima-lima tertuduh juga hendaklah menyerahkan pasport milik mereka kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi sepanjang perbicaraan dan perlu melaporkan diri sekali setiap tiga bulan ke  Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat.

ZAKARIAH
ZAKARIAH

Semua pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Faliq Basirudin manakala semua tertuduh masing-masing diwakili peguam Dayang Aida Ku Amira Aminuddin, Mohd Fadzil Abdul Karim dan Mark Rosaidey Mohd Amin Jaafar.  

Sebutan semula kes untuk Abdul Halil, Roney, Zakariah dan Aisah ditetapkan pada 16 April manakala Ajid pada 17 April depan.

  • oleh
  • Advertisement