Anda di sini

APEC: Negara anggota hadapi pelbagai cabaran hari ini

Advertisement
 Norazman ketika menyampaian ucapan pada Dialog-Pelbagai Pihak Berkepentingan mengenai Wawasan pasca 2020  di Putrajaya, semalam.  — Gambar Bernama
UCAPAN: Norazman ketika menyampaian ucapan pada Dialog-Pelbagai Pihak Berkepentingan mengenai Wawasan pasca 2020 di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Negara-negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menghadapi pelbagai cabaran hari ini berbanding apabila perkumpulan itu ditubuhkan pada 1989 dengan ‘tidak dapat diduga’ muncul sebagai norma baharu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Norazman Ayob berkata negara-negara APEC perlu sentiasa bersedia untuk menerima perubahan dalam menghadapi ketidaktentuan global semasa.

“Proses globalisasi yang biasa ditakrifkan oleh kekaburan yang dibawa oleh nasionalisme ekonomi yang meningkat, ketidakpastian dasar dan penggunaan digital yang pesat di mana APEC perlu ditambah baik dengan agenda sekarang dan akan datang,” katanya dalam ucapan pada Dialog Pelbagai Pihak Berkepentingan mengenai Wawasan Pasca 2020 di sini semalam.

Katanya mesyuarat APEC pada tahun ini yang bertemakan, “Mengoptimumkan Potensi Manusia Menuju Masa Depan Kemakmuran Bersama”, mempunyai tanggungjawab penting untuk merangka landasan baharu di luar Matlamat Bogor.

“Bagi mencapai matlamat ini, kita berada di sini di peringkat penting dalam sejarah apabila negara-negara APEC akan merangka hala tuju baharu bagi APEC Pasca 2020, alasan kepada kehadiran kami di sini,” katanya, sambil menambah APEC telah menjadi aspek penting dalam perdagangan serantau.

Melalui inisiatif dan aktiviti yang dijalankan oleh negara-negara anggota APEC, purata tarif merosot daripada 17 peratus pada 1989 kepada 5.3 peratus pada 2018.

“Dalam tempoh sama, bahagian APEC daripada perdagangan dunia meningkat daripada 41 peratus kepada 48 peratus, bernilai AS$24 trilion,” kata Norazman.

Bagaimanapun, di sebalik pencapaian yang baik, beliau menegaskan dunia tidak lagi sama seperti dahulu.

Bagi Wawasan Pasca 2020, katanya ia perlu dirangka dengan kreatif untuk memastikan rakyat menjadi teras perbincangan, selain mencerminkan langkah yang praktikal dalam menghadapi cabaran yang sentiasa berubah.

“Saya yakin melalui sumbangan daripada kita semua, Malaysia sebagai pengerusi pada tahun ini akan dapat menerajui pembangunan visi yang komprehensif yang dapat memastikan APEC kekal relevan.

“Melalui ini, APEC akan menjadi perintis dalam mencapai agenda keterangkuman dan kemampanan untuk manfaat semua negara,” katanya.

Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada APEC sekali lagi selepas 22 tahun lepas.

Seramai 21 pemimpin dan 16,000 delegasi dari 21 negara anggota APEC dijangka menghadiri APEC 2020 di Malaysia. — Bernama

Advertisement