Anda di sini

Rebut peluang dalam bidang keusahawanan

Advertisement
 Yusof ketika berucap mersamikan Kursus Teknologi Penanaman Secara Fertugasi di Kg Ketipoh Sipitang.
AMANAT: Yusof ketika berucap mersamikan Kursus Teknologi Penanaman Secara Fertugasi di Kg Ketipoh Sipitang.

SIPITANG: Rakyat di sini diminta membuat persediaan awal bagi mengambil peluang yang ada dalam pelbagai bidang keusahawanan termasuk bidang pertanian bagi memenuhi permintaan mendatang selari dengan pembangunan semasa yang semakin berkembang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin berkata, Sipitang akan berkembang maju kerana ianya jalan masuk daripada Sarawak, Brunei dan pada masa akan datang juga jalan akan tembus ke Idnonesia.

“Selain itu, kita ada pembinaan lebuhraya Pan Borneo. Sudah tentu Sipitang ini akan menjadi pekan tumpuan. Kita juga ada SOGIP (Sipitang Oil & Gas Industrial Park). Jadi pada masa akan datang Sipitang ini akan bertambah penduduknya dengan adanya industri.

"Oleh itu rakyat Sipitang harus melihat potensi ini. Salah satu potensi yang mempunyai masa depan yang begitu baik ialah penyediaan bahan-bahan mentah seperti sayur-sayuran dan bekalan ikan serta keperluan harian yang lain,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai kaedah sama ada bertanam secara tradisional dan juga mempersiapkan generasi masa kini untuk mencari keadah bagaimana untuk bertani secara efisien, bersih dan teratur serta tidak ada keraguan dari segi penyediaan misalnya penggunaaan baja, racun serangga mengikut peraturan-peraturan tertentu yang akan memberi keyakinan kepada pengguna untuk membeli bekalan dari Sipitang.

“Sebab itu daripada awal kita ingin mendisiplinkan pengusaha-pengusaha atau petani-petani ini mengikut cara yang betul dan lebih produktif daripada cara lama,” katanya.

Yusof berkata, pertanian kontan atau jangka pendek mempunyai potensi pertanian yang sangat besar.

Sehubungan itu katanya pengusaha juga perlu memikirkan bahawa bukan sahaja membekal untuk pasaran tempatan tetapi juga untuk pasaran luar seperti Sarawak dan Brunei.

“Brunei akan mempunyai permintaan yang tinggi, Sarawak juga begitu. Jadi kita ingin menyediakan awal supaya orang-orang di Sarawak dan Brunei yakin bekalan itu ada di sini. Kita mahu pengusaha melihat jauh ke hadapan dan berupaya membekalkan secara berterusan, konsisten dari segi kuantiti dan kualiti yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kursus Teknologi Penanaman Secara Fertugasi di Tapak Borneo Sipitang 4x4 Advanture Land, Kg Ketipoh di sini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Sipitang Matlin Dullah, Ketua Daerah Sipitang OKK Kamis Daming, Pegawai Pembangunan Masyarakat Pg Mohd Yacob Pg Omar, Mantan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah Datuk Siti Sapoo Ahok, Pengerusi UNITA Haslinda Hadis dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

Seramai 61 peserta mengikuti kursus anjuran Persatuan Usahawanita Sipitang (UNITA) dengan kerjasama Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) itu.

Yusof yang juga Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah juga  mengingatkan agar perlunya ada usahawan yang menceburi industri sokongan dan industri hiliran.

“Maksudnya bila fertigasi ini kita kembangkan, kita mahu ada juga di kalangan mereka ini yang menyediakan misalnya polybag, baja dan sebagainya. Kita tidak mahu bergantung kepada orang luar. Kemudian hasil tanaman itu pula, disamping pasaran yang ada, bagaimana sekiranya ada lambakan, ke mana untuk dipasarkan.

"Perlunya juga ada industri hiliran contohnya lada, kalau terlalu banyak, bagaimana kita proses jadi sambal, jadi sos lada atau menjadikannya lada kering.

“Kita tidak mahu semua orang tanam lada jadi lada berlambak. Jadi ini semua kena kita bincangkan. Sebagai ADUN di sini, saya mengambil berat tentang hal ini dan mempastikan bahawa ekonomi setempat, maknanya rakyat ini pendapatan mereka meningkat dengan adanya usaha seperti ini. Inilah harapan saya,” katanya.

Advertisement