Anda di sini

Rayuan Petronas tangguh perbicaraan kes saman SST dibenarkan

Advertisement
Peguam Petronas Datuk Malik Imtiaz Sarwar bercakap kepada pemberita, hari ini.
Peguam Petronas Datuk Malik Imtiaz Sarwar bercakap kepada pemberita, hari ini.

KUCHING: Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan rayuan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan kes saman Kerajaan Negeri Sarawak ke atas Petronas bagi menuntut Cukai Jualan Negeri (SST).

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Mary Lim Thiam Suan, Nantha Balan dan Datuk Supang Lian mendapati terdapat merit dalam rayuan yang dikemukakan oleh peguam Petronas. 

Menurut peguam Petronas Datuk Malik Imtiaz Sarwar, sidang panel hakim bersetuju kes itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan susulan pengekalan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuching, Christopher Chin.

Sebelum ini, Malik memohon agar hakim ditukar, tetapi ditolak oleh Chin.

“Rayuan ini (untuk menukar hakim lain) akan didengar di Putrajaya pada 6 Mac depan dan kami berharap agar ia akan selesai pada hari tersebut.

“Para hakim juga menjelaskan bahawa semua arahan yang diberikan terdahulu ditangguhkan kerana terdapat dua kes didengar pada 13 Mac,” jelas beliau kepada pemberita hari ini.  

Pada 13 Mac depan, keputusan permohonan semakan semula kehakiman oleh Petronas berhubung pelaksanaan SST akan didengar di hadapan Hakim Azhahari Kamal Ramli.

Manakala perbicaraan bagi kes saman Kerajaan Sarawak dan Pengawal SST dijadualkan di Mahkamah Tinggi Kuching pada 13 Mac.

Mengenai tarikh selanjutnya bagi kes ini sekiranya rayuan 6 Mac tidak diterima, Malik menjelaskan ia terpulang kepada Mahkamah Rayuan. 

Pada 5 Februari lalu, Petronas memohon untuk menangguhkan prosiding kes saman ini.

Namun, Chin pada 11 Februari lalu memutuskan agar saman Kerajaan Sarawak terhadap Petronas diteruskan pada 13 Mac depan sebagai tarikh perbicaraan.

Justeru, Petronas membuat permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan kes yang membawa kepada keputusan penghakiman hari ini. 

Kerajaan Sarawak dan Pengawal SST hari ini diwakili Penasihat Undang-Undang Sarawak, Dato Sri JC Fong.

  • oleh
  • Advertisement