Anda di sini

Pneumonia paksa Elton John pendekkan konsert

Advertisement
 I’m Still Standing - A GRAMMY Salute’ di The Theater di Madison Square Garden, New York Januari lalu. Elton John dengan linangan air mata memohon maaf kepada peminatnya kerana terpaksa memendekkan konsert di New Zealand akibat pneumonia, Isnin lepas. — Gambar AFP
KURANG SIHAT: Elton John melambai peminat ketika konsert ‘Elton John: I’m Still Standing - A GRAMMY Salute’ di The Theater di Madison Square Garden, New York Januari lalu. Elton John dengan linangan air mata memohon maaf kepada peminatnya kerana terpaksa memendekkan konsert di New Zealand akibat pneumonia, Isnin lepas. — Gambar AFP

ELTON John dengan sebak memohon maaf kepada peminat selepas dia memendekkan sebuah konsert di New Zealand kerana sakit, dan bintang British itu berkata dia mengalami ‘pneumonia berjalan’.

Penyanyi berusia 72 tahun itu, yang sedang mengadakan jelajah dunia yang memenatkan, menyanyi dengan payah ketika dia duduk di depan piano besar ketika membuat satu persembahan di Stadium Mount Smart pada malam Isnin lepas.

Selepas diperiksa oleh seorang ahli medik dengan stetoskop, dia terus bersusah-payah menyampaikan dua lagu lagi sebelum menghentikan persembahan tidak sampai separuh daripada senarai lagunya.

“Saya tidak dapat menyanyi, saya baharu sahaja kehilangan sepenuhnya suara saya,” katanya kepada para penonton konsert dengan suara berkerit yang garau.

“Saya terpaksa pulang. Saya memohon maaf sangat.”

Elton John jatuh sakit ketika pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia dalam keadaan berwaspada bagi tanda COVID-19, yang sudah menjangkiti lebih 70,000 orang dan membunuh 1.770 orang di tanah besar China.

New Zealand tidak ada kes yang dilaporkan bagi virus tersebut.

Rakaman video menunjukkan Elton John, yang memakai sut biru dan kaca mata besar yang sudah sinonim dengan dirinya, berdiri di tepi piano dan mengangkat bahunya kepada hadirin untuk menunjukkan dia tidak berdaya lagi.

Dia kemudian meninggalkan pentas dengan menyeret kaki dan menundukkan kepala, dibantu oleh anggota kru jelajahnya sementara orang ramai bersorak untuk memberikan sokongan mereka.

“Saya telah didiagnos dengan pneumonia berjalan pada awal hari ini, tetapi saya bertekad untuk memberikan anda pertunjukan terbaik yang termampu dari segi manusiawi,” katanya kemudian dalam Twitter.

“Saya bermain dan menyanyi dengan segenap hati saya, sehingga suara saya tidak dapat bernyanyi lagi. Saya kecewa, amat hampa dan menyesal. Saya memberikan segala yang saya miliki.”

Komitmen ‘menakjubkan’

Pneumonia berjalan merupakan istilah tidak rasmi bagi pneumonia atipikal, yang menyebabkan jangkitan ringan pada sistem penafasan, menurut Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat.

Ia berkata simptom termasuk keletihan, sakit kerongkong, demam dan batuk, dan penyakit itu kadang-kadang dapat menyebabkan pneumonia sepenuhnya, satu jangkitan paru-paru yang serius.

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berkata dia berjumpa dengan penyanyi itu seketika sebelum konsert pada Ahad lepas dan ‘anda dapat lihat dia rasa tidak sihat’.

“Memandangkan dia mengalami apa yang mereka panggil pneumonia berjalan, hakikat bahawa dia menghabiskan masa kira-kira dua jam di atas pentas untuk menyampaikan persembahan yang begitu besar adalah menakjubkan dan sangat murah hati,” katanya kepada pemberita sambil memuji komitmen Elton John kepada peminat.

Elton John berada di New Zealand sebagai sebahagian daripada jelajah dunia ‘Farewell Yellow Brick Road’, yang bermula pada 2018 dan dijadual akan berakhir pada hujung 2020 di London.

Dengan memaparkan ratusan konsert di seluruh dunia, ia dilabel sebagai peluang terakhir untuk melihat bintang itu sebelum dia bersara.

Penyanyi itu telah mengikuti jadual yang meletihkan di New Zealand, bukan sahaja mengadakan konserta tetapi juga memasukkan perjalanan sampingan untuk menyanyi pada Anugerah Akademi di Los Angeles.

Pada Majlis Anugerah Oscar, dia membawa pulang anugerah untuk lagu asal terbaik bagi ‘(I’m Gonna) Love Me Again’ daripada biopik muzikal tentang kehidupan ‘Rocketman’.

Elton John ada dua lagi pertunjukan yang dijadualkan di Auckland sebelum dia pergi ke Australia untuk tujuh konsert selanjutnya.

Promoter jelajah di rantau Australasia itu, Chugg Entertainment berkata salah satu pertunjukan di Auclkand sudah diubah dari Selasa kepada Rabu supaya bintang itu berehat dengan lebih lama lagi selepas menerima nasihat perubatan. – AFP

Advertisement