Anda di sini

Malaysia terajui usaha rangka dokumen strategik PKS APEC

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengetuai usaha merangka dokumen strategik inisiatif Agenda Tindakan Mengglobalisasikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana pasca Boracay yang akan diserahkan kepada pemimpin Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), November depan.

Inisiatif diterajui Filipina yang dilancarkan pada APEC 2015, bertujuan menggalakkan penyertaan usahawan terbabit dalam perdagangan global dan serantau.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata dokumen itu akan menumpukan aspek pembangunan usahawan, pendigitalan, agenda sosial serta keusahawanan sosial.

Ia akan dibentangkan kepada anggota APEC dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 4-8 Mei ini dan seterusnya di Dialog Dasar APEC mengenai PKS dan Rangka Kerja Keusahawanan pada 7-8 Julai, di sini.

“Dokumen strategik itu kemudiannya akan dibentangkan pada Minggu PKS APEC 2020 pada 21-24 September depan sebelum diserahkan kepada ketua-ketua negara APEC pada November,” katanya kepada pemberita pada sidang media Bengkel Usahawan Muda APEC di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp) Noor Azmi Mat Said berkata Bengkel Usahawan Muda APEC itu merupakan program pertama anjuran SME Corp yang merupakan agensi MEDAC bagi APEC 2020.

Program itu merangkumi tiga sesi utama - perbincangan panel, sesi mentor atau bimbingan dan sesi pembentangan idea dengan pelabur berpotensi bagi meningkatkan aspek kemahiran keusahawanan dan kepimpinan dalam kalangan PKS dan mikro.

Ia juga bertujuan menyediakan platform bagi peluang jaringan untuk mereka dalam rantau APEC.

“Bengkel ini bagi memudahkan usahawan muda di negara APEC berkongsi isu-isu serta cabaran yang dihadapi selain mengenal pasti penyelesaian termasuk pembiayaan, jaringan perniagaan dan pengetahuan berkaitan,” katanya ketika berucap.

Seramai 150 peserta dari sembilan negara termasuk Mexico, Peru, Rusia dan Papua New Guinea menyertai bengkel dua hari tersebut. — Bernama

Advertisement