Anda di sini

Insentif lebih besar jika berjaya menuntut cukai jualan daripada Petronas - Abang Johari

Advertisement
Abang Johari bersama Abdul Karim merakam gambar kenangan bersama attlet yang  menerima insentif atas kejayaan cemerlang memenangi pingat Sukan SEA dan kejohanan antarabangsa 2019. - Gambar oleh Muhamad Rais Sanusi
Abang Johari bersama Abdul Karim merakam gambar kenangan bersama attlet yang  menerima insentif atas kejayaan cemerlang memenangi pingat Sukan SEA dan kejohanan antarabangsa 2019. - Gambar oleh Muhamad Rais Sanusi

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata insentif lebih besar akan diberi kepada para atlet cemerlang Sarawak jika Kerajaan Negeri Sarawak menang dalam kes saman menuntut bayaran Cukai Jualan Negeri (SST) daripada Petronas.

Meskipun demikian menurutnya, Kerajaan Negeri tetap mengkaji untuk menambah insentif kepada kepada para atlet Sarawak cemerlang setiap tahun sebagai menghargai sumbangan mereka mengharumkan nama negeri menerusi sukan. 

Langkah ini adalah untuk mendorong lebih ramai atlet muda yang berpotensi berlatih dengan lebih gigih, katanya berucap pada Majlis Malam Apresiasi Kementerian Belia dan Sukan  2020 di sini pada malam Selasa.

Hadir sama, isteri Ketua Menteri, Datin Patinggi Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang; Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; dan Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan.

Kes saman Petronas kini sedang dalam proses perbicaraan, bagi menuntut SST terhadap produk-produk petroleum.

Abang Johari berkata lagi kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk melabur dalam menyediakan kemudahan bangunan sukan sebagai usaha melahirkan lebih ramai atlet terbaik.

"Saya bersetuju dengan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, mengenai keperluan untuk membina Pusat Sukan Berprestadi Tinggi bagi kegunaan atlet kita," ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan negeri bersetuju di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) untuk membina Pusat Sukan Berprestasi Tinggi di Kuching yang akan dilengkapi dengan kemudahan untuk melatih atlet dan membangunkan mutu sukan Sarawak.

"Ini akan membolehkan atlet memberi tumpuan kepada latihan dan melengkapkan kemahiran mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam pertandingan utama seperti Sukan Malaysia. Dengan kemudahan dan program yang baik, mereka boleh mempersiapkan diri secara fizikal dan mental untuk mengambil bahagian dalam acara sukan," katanya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu kerajaan negeri akan melihat kemungkinan untuk mempersiapkan anak-anak muda Sarawak terlibat dalam sukan ekstrim dan lebih mencabar.

"Perkara itu akan dipertimbangkan susulan menerima banyak permintaan untuk membina kompleks sukan, padang bola sepak dan trek basikal hasil maklum balas yang dikumpulkan dalam pelbagai program belia termasuk Jelajah Belia.

"Pada masa sama, kita akan menaik taraf sukan tradisional seperti bola sepak, gasing, sepak takraw, wushu dan sebagainya selain turut menaik taraf semua kemudahan latihan dan mengambil bahagian dalam sukan baharu termasuk e-sukan yang telah mendapat populariti sejak kebelakangan ini," jelasnya.

Pada majlis itu, 24 atlet yang memenangi pingat pada Sukan Asia Tenggara (SEA) 2019 dan kejohanan antarabangsa lain pada tahun lalu menerima insentif.

Majlis turut menyaksikan penyerahan geran belia dan sukan kepada seramai 57 penerima, 37 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta penyampaian cenderahati kepada tujuh pegawai yang bersara dan dua pegawai berpindah tempat tugas.


 

  • oleh
  • Advertisement