Anda di sini

Sarawak United IV perlu mantap

Advertisement

MIRI: Kemenangan Sarawak United IV dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini tidak boleh dijadikan kayu pengukur tahap sebenar kemampuan skuad muda itu.

Ketua Jurulatihnya, David Usop berkata ia sekadar perlawanan pemanas badan sebelum kempen sebenar menentang Negeri Sembilan di Stadium Miri pada 23 Februari ini.

“Kita masih berusaha memperbaiki setiap kelemahan yang dikesan pada perlawanan itu malah masih mencari formasi terbaik untuk menjadikan skuad muda kita benar-benar mantap dalam kebelasan utama,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

David berkata, setakat ini semua pemain berada pada ‘mood’ terbaik dengan menentang Negeri Sembilan nanti adalah halangan pertama yang perlu dilalui.

“Saya percaya dengan kemampuan anak-anak buah saya dan sudah pasti apa yang diinginkan ialah perlawanan pertama di gelanggang sendiri nanti harus mencapai kemenangan mutlak,” jelasnya.

Ditanya sama ada pemain-pemain yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang bakal digugurkan, David berkata Sarawak United IV adalah pasukan pembangunan dan wajar mereka diberi peluang terlebih dahulu.

“Mereka (pemain-pemain muda ini) adalah pelapis pasukan Piala Presiden dan skuad senior (Sarawak United), jika mereka gagal mempamerkan aksi terbaik sepanjang kempen nanti mereka tetap diberi ruang untuk memperbaiki kesilapan,” ujarnya.

Sarawak United IV sebelum ini berpesta gol selepas menumbangkan IKBN Miri dengan jaringan besar 7-0 serta menang tipis ke atas Panaga FC (Brunei) dengan 1-0.

Petang semalam, Sarawak United IV meneruskan siri perlawanan persahabatan menentang Kota Rangers Brunei di Stadium Miri.

Peminat-peminat bola sepak tempatan di sini dipelawa datang beramai-ramai menyaksikan kempen Piala Belia 2020 bakal berlangsung di Stadium Miri setiap Rabu dan Ahad, mulai jam 4.15 petang dengan kemasukan adalah percuma.

Sementara itu, satu sesi memperkenal pemain-pemain Sarawak United IV yang dianggotai 28 pemain diadakan pada Jumaat lalu.

Terdahulu dalam ucapannya, Pemangku Timbalan Residen Bahagian Miri, Abdul Aziz Mohd Yussuf berkata segala persiapan Miri sebagai tuan rumah Piala Presiden 2020 berjalan dengan lancar.

“Penganjuran Piala Belia di Miri akan meloncakkan industri sukan eko-pelancongan dengan kehadiran ramai pelawat dari luar ke bandar raya ini,” katanya.

Untuk rekod, Miri menjadi tuan rumah untuk Piala Presiden pada tahun lalu dan kali ini bandar raya pelancongan itu dipilih sekali lagi sebagai penganjur Piala Belia 2020.

Hadir sama Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri (Miri FA) Mohd Saif Jubaidi, Timbalan Presidennya, Nazri Datuk Ahmad Lai serta Penolong Ketua Jurulatihnya, Pengiran Bala.

  • oleh
  • Advertisement