Anda di sini

Peter saman portal fitnah terhadap kementerian

Advertisement

TUARAN: Tindakan saman akan dikenakan terhadap sebuah portal yang membuat tohmahan fitnah terhadap Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI).

Menteri berkenaan, Datuk Peter Anthony, berkata kerajaan sekarang mengamalkan dasar keterbukaan dan menerima apa juga kritikan yang dibuat oleh mana-mana pihak.

"Bagaimanapun, janganlah membuat tuduhan melulu, saya sebagai menteri akan membuat saman terhadap portal berkenaan yang saya tahu didalangi oleh pemimpin lama di Sabah, kita tahu siapa mereka.

"Mereka juga tahu di peringkat kementerian saya, kita tidak ada kuasa untuk melantik secara rundingan terus kepada kontraktor, tetapi di peringkat Kementerian Kewangan boleh, kerana ianya diamalkan sejak mula-mula kerajaan Sabah ditubuhkan," katanya ditemui selepas mengadakan lawatan ke Taman Sri Rugading di sini.

Beliau berkata, perkara yang terjadi adalah konsesi yang dinyatakan dimiliki oleh sebuah syarikat dan berkaitan dengan kerajaan lama.

Katanya, setelah melakukan pemantauan di seluruh negeri mengenai hasil kerja-kerja yang dilakukan, KPI mendapati kerja dilakukan tidak berkualiti dan tidak bertanggungjawab.

"Mereka mempunyai kontrak selama 15 tahun, dan sudah diperbaharui lagi 15 tahun oleh kerajaan lama tetapi tidak melakukan kerja-kerja dengan baik.

"Kita di peringkat kementerian mencadangkan bagi memperbaiki mutu kerja di seluruh daerah, kita cadangkan agar kontraktor bumiputera yang lain diberikan peluang.

"Kalau mereka juga tidak buat kerja yang baik, kita buang mereka dan gantikan lagi dengan kontraktor baharu," katanya.

Katanya, KPI cadangkan skop kontrak syarikat berkenaan dikecilkan dan kerja-kerja sedia ada diberikan kepada kontraktor bumiputera baharu.

Sementara itu, Peter menjelaskan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk Taman Sri Rugading kini selesai sepenuhnya di semua bahagian perumahan berkenaan.

Katanya, dengan penambahan kapasiti air kepada penduduk di sini, segala kesulitan penghuni perumahan ini mengenai masalah bekalan air kini selesai.

Dalam pada itu, Peter berkata, pembinaan empangan Papar akan diteruskan bagi membolehkan bekalan air yang mencukupi untuk tempoh 70 tahun akan datang memandangkan empangan yang sedia ada tidak lagi dapat menampung keperluan harian penduduk.



 

  • oleh
  • Advertisement