Anda di sini

Perkasa produk dan perkhidmatan bagi memenuhi permintaan di bandar - Awang Tengah

Advertisement
Naroden (tiga kiri) menyampaikan sijil kepada penerima hari ini.
Naroden (tiga kiri) menyampaikan sijil kepada penerima hari ini.

KUCHING: Kerajaan Sarawak mahu lebih ramai penggiat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) khususnya di luar bandar memperkasakan produk dan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan dan permintaan di kawasan bandar. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata penduduk bandar yang majoriti bergaji bulanan mempunyai keperluan dan kemahuan seharian amat tinggi.

"Segala keperluan ini adalah produk seperti keperluan barangan makanan seperti beras, sayuran, ikan, buah buahan, lada dan juga barangan bukan makanan seperti kraf, perkayuan, herba dan banyak lagi datangnya dari kawasan luar bandar.

"Justeru para penduduk luar bandar harus melihat bandar sebagai satu peluang besar untuk menyedia dan memenuhi keperluan dan permintaan di dalam bandar ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais
pada majlis graduasi 92 graduan program bimbingan perniagaan (IBC) dan peningkatan perniagaan (BEP) 2019 Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), hari ini. 

Katanya, peluang untuk bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan yang melaksanakan pelbagai program pertanian atau keusahawanan perlu diambil dalam memastikan ilmu dan kemahiran dipelajari dapat diguna pakai bagi memantapkan promosi dan jualan mereka.

Jelasnya lagi, pembinaan Jalan Pesisir dan Lebuhraya Pan Borneo akan memudahkan lagi perhubungan dan pergerakan produk dari luar bandar ke pasaran besar di bandar.

Para pengusaha PKS juga digalakkan untuk melonjakkan perniagaan perkhidmatan dan produk menerusi platform yang berlandaskan teknologi seiring dengan perkembangan global hari ini.

"Salah satu dasar kerajaan negeri ialah untuk memperkasakan kuasa telekomunikasi dan maklumat di Sarawak terutama kawasan pedalaman.

"Ini kerana menerusi kekuatan telekomunikasi para petani dan usahawan di pendalaman akan berupaya mendapat maklumat penting melalui internet dan peranti mereka dalam perusahaan sektor pertanian moden, memperoses produk dan mengurus perniagaan mereka," tegasnya lagi.

Pinjaman dan geran disediakan disetiap peringkat untuk membantu usahawan memulakan perniagaan atau menambah baik perusahaan mereka.

Namun bantuan daripada pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) juga diperlukan bagi memastikan ahli mereka masing masing memahami dan menghayati teknologi agar tetap berdaya saing dan tidak ketinggalan, ujarnya lagi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Muhd Firdaus Azharuddin; Ahli Lembaga Pemegang Amanah INSKEN Datin Dr Syahira Hamidon; Pengarah Bahagian Keusahawanan AIM, Hamdan Samsi dan Pengarah Pejabat Pelancongan Dan Kebudayaan Negeri Sarawak, Suriya Charles Buas.

  • oleh
  • Advertisement