Anda di sini

Ligue 1: Tanpa kelibat Neymar dan Mbappe, PSG diikat 4-4 di Amiens

Advertisement
 Penyerang Amien, Sehrou Guirassy (kanan) menjatuhkan pemain PSG, Idrissa Gueye ketika bersaing pada perlawanan liga di Stadium Licorne, Amiens kelmarin. — Gambar AFP
TERJAHAN KERAS: Penyerang Amien, Sehrou Guirassy (kanan) menjatuhkan pemain PSG, Idrissa Gueye ketika bersaing pada perlawanan liga di Stadium Licorne, Amiens kelmarin. — Gambar AFP

AMIENS, Perancis: Serhou Guirassy menjaringkan gol penyamaan pada minit kecederaan buat Amiens ketika mengikat pasukan Paris Saint Germain (PSG) 4-4 yang beraksi tanpa Neymar dan Kylian Mbappe dalam aksi Ligue 1 Perancis Sabtu lepas.

Amiens, yang bergelut mengelak penyingkiran musim ini, berada di landasan untuk mencipta satu kejutan apabila mendahului 3-0 seawal 40 minit permainan sebelum PSG bangkit dan mendahului 4-3 dengan Tanguy Kouassi menjadi penjaring gol paling muda PSG sejak 44 tahun.

Neymar tidak beraksi sejak 1 Februari kerana kecederaan sementara Mbappe direhatkan menjelang perlawanan Liga Juara-Juara menentang Borussia Dortmund Selasa ini.

Jurulatih PSG, Thomas Tuchel berkata Neymar, pemain paling mahal di dunia, masih diragui dalam diturunkan pada perlawanan pertama pusingan kedua menentang Dortmund.

“Untuk perlawanan Selasa ini, saya tidak tahu. Saya harus menunggu sehingga sesi latihan esok hari,” kata Tuchel.

“Semua orang bercakap tentang perlawanan ini, jadi kerana itu kami boleh membayangkan ia di fikiran kami dan ia agak mengganggu fokus pemain hari ini (Sabtu).

“Kami menunjukkan kebangkitan dan kualiti kami selepas ketinggalan dan selayaknya menang,” tambah Tuchel.

PSG menjarakkan kedudukan di singgahsana liga dengan kelebihan 13 mata berbanding Marseille sementara Amiens kekal dalam zon penyingkiran dan masih tanpa kemenangan dalam liga sejak 2 November.

Jurulatih Amiens, Luka Elsner, melakukan dua pertukaran dari skuad yang tewas kepada Monaco  minggu lepas, dengan Haitam Aleesami dan Bongani Zungu diturunkan dalam kesebelasan utama berbanding Thomas Monconduit dan Bakaye Dibassy yang digantung perlawanan.

Guirassy membuka jaringan seawal minit kesembilan sebelum Gael Kakuta menambah jaringan 20 minit kemudian.

Keadaan menjadi lebih buruk buat PSG apabila Fousseni Diabate menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-40.

Pemain tengah, Ander Herrera, merapatkan kedudukan buat PSG.

Tuchel melakukan dua pertukaran pada masa rehat dengan Marco Veratti dan Marquinhos menggantikan Idrissa Gueye dan Thiago Silva.

Pemain remaja, Tanguy Kouassi, menjaringkan gol senior pertama beliau selepas satu jam permainan untuk menjadi penjaring gol paling muda PSG sejak Lionel Justier pada 1976.

Pemain tengah berusia 17 tahun itu, yang masih mempunyai kontrak di peringkat akademi bersama PSG, mengikat kedudukan lima minit kemudian dari satu umpanan Angel Di Maria.

PSG memikirkan mereka melengkapkan satu kebangkitan bergaya apabila menjaringkan gol pendahuluan 4-3 menerusi rembatan Mauro Icardi.

Tetapi seminit dalam masa kecederaan, Guirassy menerima umpanan cantik Quentin Cornette sebelum merembat ke pintu gol untuk gol penyamaan yang menyentak PSG. — AFP

Advertisement